Gambar hiasan | Google Images |
Biasa kita dengar ibu mertua tak baik. Tapi Alhamdulillah, cerita alam perkahwinan saya berlainan.
Saya dan suami berkenalan hanya seketika. Suami sangat serius ingin membawa hubungan kami ke jalan yang halal. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan.
Cinta? Sejujurnya rasa itu tiada pada saya untuk suami. Jadi orang bertanya, kalau tak cinta kenapa kahwin? Saya tiada jawapan yang pasti. Saya hanya melihat hubungan suami dengan Allah dan saya menerima dia dengan ciri-ciri itu.
Saya tidak pernah mengenali keluarganya sehinggalah di hari kami bertunang, barulah berpeluang mengenali keluarganya. Dari situ, saya mengenali mertua saya.
Pada malam hari kenduri sebelah suami, ibu mertua memanggil saya. Dia membahasakan dirinya 'Mama',
"Kak Ngah, terima kasih sebab menerima anak Mama menjadi suami. Pada Mama, anak atau menantu, Mama anggap sama sahaja. Jadi terpulanglah kepada menantu Mama nak anggap Mama ini mama atau ibu mertua," katanya.
Air mata saya bergenang, terus saya peluk ibu mertua.
Hari pertama di rumah mertua, saya sudah jatuh cinta pada keluarga mertua. Ipar-ipar saya juga sangat baik, kami saling jaga menjaga antara satu sama lain. Anak kamu, anak aku juga dan begitulah sebaliknya. Mama tidak pernah menyindir, apatah lagi memarahi menantu-menantunya.
Saya pernah disuruh oleh Mama memasak nasi dalam periuk besar untuk 50 orang makan semasa kenduri. Saya malu untuk mengaku tak reti nak ukur sukatan air/beras bagi jumlah seramai itu.
Mama senyum dan bertanya, "Tak pernah buat ke?" saya hanya menggeleng malu.
"Okay, sini Mama ajar" katanya lalu mengajar saya sehingga pandai.
Ibu mertua saya benar-benar memberi inspirasi kepada saya. Jika ada menantu kelak, saya ingin menjadi ibu mertua seperti dia, yang mendamaikan. Alhamdulillah. - KRT | The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment