SEGAMAT, JOHOR - Tindakan seorang lelaki memuat naik gambar motosikal yang dicuri ke dalam kumpulan WhatsApp untuk mengajak mana-mana wanita keluar bersiar-siar dengannya mengundang padah apabila dia ditahan polis kelmarin, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, suspek berusia 26 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan anggota polis wanita yang berpura-pura membuat temu janji untuk membonceng motosikal tersebut.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, suspek telah memuat naik gambar motosikal SYM berwarna merah di dalam kumpulan WhatsApp tersebut sambil mengajak mana-mana wanita menunggang bersamanya di sekitar bandar Segamat.
"Malangnya dia (suspek) tidak sedar bahawa pemilik motosikal itu turut berada di dalam kumpulan WhatsApp yang sama. Malah pemiliknya pernah membuat laporan polis mengenai kehilangan motosikalnya di Balai Polis Labis, minggu lalu.
"Pemilik motosikal itu kemudian memaklumkan kepada polis. Kami menugaskan seorang anggota polis wanita untuk menyamar meminati motosikal tersebut dan mahu membonceng bersama dengan suspek.
"Anggota berkenaan kemudian menghubungi suspek dan membuat temu janji di bawah jambatan 30 meter dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dengan ditemani beberapa anggota polis lain yang bersembunyi di kawasan berhampiran," katanya memetik laporan dari Harian Metro.
Suspek tiba di lokasi dengan senyuman apabila melihat anggota polis wanita yang melambai ke arahnya. Namun terkejut apabila dia ditahan beberapa lelaki ketika cuba bersalaman dengan wanita itu.
Hasil siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai pekerjaan, nombor pendaftaran motosikal juga telah dipalsukan untuk mengelakkan motosikal itu daripada dikesan.
Blogger Comment
Facebook Comment