Jangan berseluar dalam / berbikini bila di depan anak, tiada istilah 'anak masih kecil tak tahu apa-apa'



"Budak lelaki itu kata, semasa dia kecil, dia selalu ternampak bapanya pakai seluar dalam di depan matanya selepas mandi. Ibu dan bapa fikir anak kecil lagi, tetapi mereka tidak sedar yang perbuatan mereka itu tersimpan dalam minda separa sedar anak-anak mereka. 

"Nak dijadikan cerita, apabila dia sudah meningkat usia remaja, dia terdedah dengan video pornografi. Anda semua pun tahu bahawa video lucah ini boleh menyebabkan ketagihan. Dah tonton sekali, akan tonton lagi berkali-kali. Bila tengok yang biasa, beralih pula ke hardcore s*x sehinggalah mencari video lucah sesama jantina. 

"Pada awalnya dia berasa janggal, namun lama-kelamaan rasa biasa dan condong ke arah itu. Bila sambung belajar ke sekolah berasrama, dibuli pula oleh rakan. Disuruh berbogel dan melakukan onani di hadapan pelajar senior. Mentalnya dibuli. Tetapi lama-kelamaan, ia menjadi perkara biasa dan dia semakin biasa melakukannya. 

"Bayangkanlah, dia pernah tengok bapanya berbogel semasa kecil, kemudian ketagih dengan video lucah sesama jantina sehinggalah dibuli seperti itu. Rasa-rasanya apa yang akan terjadi pada remaja ini di kemudian hari?" soal rakan yang membuatkan saya terasa sedih. 

"Adakah adik itu akan terlibat dengan gejala homoseksual?" saya menyoalnya kembali dan jawapan yang diberikan, "Ya!" 

Kawan-kawan yang baik hati, ini adalah salah satu kisah menyayat hati yang berlaku kepada remaja di luar sana. Masyarakat hanya melihat output; gay, lesbian, pengkid, biseksual, zina. Namun di sebalik semua itu tersimpan memori silam yang kompleks untuk dirungkai. 

Sebagai ibu bapa alaf baru, banyak yang perlu kita pelajari dan jaga. Benar, mereka anak kita namun ia bukan syarat untuk kita berbogel atau separa bogel di hadapan mereka. Aurat antara kita dan anak-anak perlu dititikberatkan. 

Jangan hanya berseluar dalam dan berbikini sahaja bila berada di depan anak-anak. Apa kita fikir rumah itu sama seperti pantai Los Angeles? 

Tuan puan yang disayangi, umum tahu anak kecil akan meniru apa sahaja yang mereka lihat. Segala perilaku ibu bapa mereka akan dipamerkan kembali oleh anak-anak. Anda pemarah, mereka akan cepat marah. Anda suka memukul mereka, mereka akan memukul orang lain pula hatta anda melakukan hubungan intim antara suami dan isteri pun mereka akan ikuti.

Ini kisah benar tuan-tuan. Kami pernah mengendalikan kes murid darjah dua yang melakukan hubungan intim (bercumbu dan meraba) dengan rakan sekelasnya di kala mereka baru berusia 8 tahun. Rasanya apa yang adik ini lakukan asbab nasfu atau hanya mencontohi perilaku ibu dan bapanya? 

Setelah disoal-siasat, rupa-rupanya adik lelaki ini biasa melihat ibu dan ayahnya bercengkerama di rumah tanpa malu. Dia melihat dan memerhati tindakan ibu bapanya. Menurut bapanya, itulah cara dia menunjukkan kasih sayang kepada ibunya. 

Kata-kata itu dikunci kemas dalam fikirannya. 

"Saya suka dia, ini cara saya tunjukkan kasih sayang kepadanya," kata murid itu mengulangi kata-kata bapanya itu. 

Innalilahi wainna ilaihi rajiuun.

Ibu bapa, caknalah perkara ini ya. Jangan sesekali kita tanamkan mindset, 

"Tak apa, anak masih kecil lagi. Mereka tidak tahu apa-apa," 

Sudahlah anak diberi gajet seawal usia bayi. Setelah diberi, tidak dipantau pula oleh ibu bapa. Anak kecil ini hanyut dengan dunia YouTube sehingga mereka menonton video yang tidak berpakaian. 

Nak menjadi ibu bapa bukan perkara yang mudah. Segala ilmu untuk mendidik anak-anak perlu dipelajari. Fungsi tubuh badan juga perlu dijelaskan dengan baik kepada anak oleh ibu bapa. Ikut tahap umur anak. Fungsi zakar dan faraj perlu diberitahu. Ini tidak, zakar dan faraj pun ditukar kepada istilah yang lain seperti burung dan pepet. Allahu, ia tidak lucah, ia proses mendidik anak-anak.

Tuan puan, soal buli di asrama, kita kena akui ia berlaku. Baik di sekolah biasa atau di sekolah aliran agama. Jika dahulu hanya sekadar dibuli basuh baju pelajar senior, kini ia ditransformasikan ke satu tahap yang dahsyat iaitu dibuli dalam bentuk seksual. 

Ibu bapa semua pun ambil tahu tentang isu pelajar asrama yang melakukan buli luar tabi'e kepada rakannya. Jika diulas isu ini, nanti kena saman pula. Takdir tuan-tuan. 

Ibu bapa  di luar sana, ketahuilah bahawa anak-anak adalah tanggungjawab kita bersama. Gali lagi ilmu, pratikkan. Mudah-mudahan anak kita terhindar dari zina, homoseksual, seks luar tabi'e, pedofil dan yang sewaktu dengannya. 

Gombak - 24/5/2017
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment