KUALA LUMPUR - Penganjur acara Fenomena Aidilfitri 2017 tampil memberi kenyataan berhubung insiden ketegangan yang berlaku di antara Nora Danish dan Fasha Sandha.
Memetik laporan dari Astro Gempak dan mStar Online, Pengarah Urusan Glass Go Media, Amiruddin Rizuan Ali berkata, pihaknya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kemelut yang melanda dua selebriti itu.
"Kejadian yang berlaku tiada kena mengena dengan Nora Danish atau Fasha Sandha dan ia sebenarnya atas kelalaian daripada pihak saya.
"Pada malam tersebut, tiada sebarang kejadian melibatkan tarik diri daripada pertunjukkan fesyen mahupun halau-menghalau dan ia merupakan satu salah faham. Jadi, saya mengambil sepenuh tanggungjawab atas perkara yang berlaku dan akan cuba menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya.
Beliau juga menjelaskan, keputusan menghalang Fasha hadir ke majlis berkenaan dibuat tanpa sebarang arahan daripada pihak Nora Danish. Apa yang dilakukan itu dirasakan sebagai cara terbaik untuk memastikan majlis tersebut berjalan lancar.
"Salah faham ini berpunca daripada saya kerana saya langsung tidak bertanya Nora terlebih dahulu. Saya tahu hubungan mereka tidak baik, jadi saya tidak mahu perkara buruk berlaku pada majlis yang saya anggap penting buat saya. Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian Fasha dihalau seperti didakwa.
"Pada kesempatan ini juga, saya ingin meminta maaf kepada Nora dan Fasha yang terjejas daripada salah faham yang berlaku. Saya memohon agar netizen dan peminat menghenti spekulasi dan tidak terus menyebarkan fitnah," katanya.
Situasi tegang itu tercetus apabila Fasha memuat naik kenyataannya di laman Instagram menceritakan insiden salah faham yang berlaku ketika berada di acara yang dianjurkan di Hotel Doubletree Kuala Lumpur, 10 Mei lalu.
Dalam kenyataan itu, Fasha mendakwa ada artis yang jenamanya turut terbabit dalam pertunjukan fesyen itu akan menarik diri sekiranya Fasha hadir. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment