Pengantin menanggung malu, katerer beri alasan terlupa & dakwa pengantin kerap tukar tarikh


TIKAM BATU, KEDAH - Kecewa dengan tindakan pihak katerer yang gagal menyediakan makanan seperti yang dijanjikan, memaksa sepasang pengantin membuat laporan polis berhubung insiden yang telah memalukan mereka, semalam, lapor Sinar Harian Online

Pengantin perempuan, Ain, 25, berkata, pihaknya telah mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak katerer berkenaan termasuklah membayar wang keseluruhan sebanyak RM9,000 sebelum majlis bermula. 

Menurut Ain, dia yang sedang bersiap untuk ke majlis resepsi kira-kira jam 12 tengah hari hanya mengetahui perkara itu setelah dihubungi keluarga bertanyakan tentang makanan yang masih belum tiba, sedangkan tetamu sudah mula memenuhi dewan. 

"Bila saya menghubungi pihak katering, dia memaklumkan yang dia terlupa dan menyangka majlis kenduri kami diadakan esok (13 Februari), sedangkan di surat tempahan awal-awal lagi tertera tarikh 12 Februari 2017," katanya sebak. 

Disebabkan kelewatan itu, sanak saudara dan para tetamu yang datang seawal jam 11.30 pagi terpaksa menunggu hampir dua jam untuk menikmati hidangan. Mujur tuan rumah ada menyediakan menu sampingan, laksa, yang sepatutnya dijadikan sebagai menu petang akhirnya bertukar menjadi menu utama. 

"Disebabkan kuantiti yang sikit, hidangan laksa habis lebih awal. Nasi hanya sampai kira-kira jam 2 petang dan itupun berlaukkan ayam dan sedikit lauk ikan sahaja.

"Pemilik katering berjanji menyediakan makanan dan menghantar menu sampingan terlebih dahulu, namun mengambil masa beberapa jam untuk siap sepenuhnya sehingga tetamu yang terpaksa pulang dengan hampa," katanya. 

Lapor wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi majlis mendapati, lauk tambahan ayam dan daging masak hanya disediakan kira-kira jam 4 petang, sedangkan majlis tamat sejam kemudian. 

"Saya sudah membayar RM9,000 untuk menempah juadah bagi 1,400 tetamu. Antaranya nasi putih, nasi minyak, ayam masak merah, daging masak hitam, acar timun, bubur kacang, air dan makanan pengantin yang ditandakan percuma. Namun hanya lauk ayam dan daging sahaja dihantar sedangkan menu lain seperti acar timun, bubur kacang dan buah tidak dihantar sehingga jam 4 petang semalam. 

"Saya dan suami terpaksa menanggung malu berikutan majlis sambut menantu turut dianjurkan serentak memandangkan ia majlis perkahwinan terakhir bagi keluar saya dan kali pertama bagi keluarga sebelah suami. 

"Kami sudah rancang sebaik-baiknya tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Bukan sahaja malu dengan ahli keluarga, tetapi sanak-saudara dan kenalan yang datang jauh semata-mata mahu menjamu selera tetapi makanan lambat sampai. 

"Ada juga kawan-kawan yang bekerja terpaksa pulang ke tempat kerja tanpa makan selepas waktu rehat tamat. Puas ahli keluarga memohon ampun dan meminta maaf kepada tetamu," katanya. 

Pasangan itu bagaimanapun mahu menuntut ganti rugi dan mahu pihak katerer bertanggungjawab sepenuhnya. Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Tikam Batu berhubung kejadian yang memalukan itu. 

Sementara itu, pemilik katerer, Syed, mengakui kesilapan pihaknya yang lewat menghantar makanan tetapi semuanya telah selesai tanpa sebarang masalah. 

Menurut Syed, masalah itu berlaku kerana timbulnya kekeliruan dan antaranya pihak pengantin mengubah tarikh beberapa kali sehingga menyebabkan pihaknya tersilap. 

"Saya akui kesilapan saya sebab lewat menghantar makanan tetapi bukan kita tak hantar. Semuanya dah ada, dah selesai. Bila dihubungi pihak pengantin, saya cuba mengatasi dengan menghantar lauk back up dulu. Selepas itu baru hantar lauk lain kemudian," katanya. 

Syed juga akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment