Jangan pandang serong pada wanita yang 'bunting pelamin' kononnya mereka hamil sebelum bernikah



"Tahniah, puan disahkan mengandung. Mengikut kiraan, usia janin ini lebih kurang enam minggu," kata doktor. 

"Tetapi doktor, kami baru berkahwin 4 minggu yang lalu. Apa orang lain akan kata nanti?" soal pasangan berkenaan.

Pasangan ini bernikah dan naik pelamin pada 28 Januari 2017 iaitu pada cuti raya Cina yang lalu. Empat minggu kemudian iaitu 28 Februari 2017, pengantin perempuan disahkan mengandung dan usia janin dianggarkan 6 minggu. Apa yang terjadi sebenarnya? 

Bunting pelamin adalah 'misnomer'. Ia seolah-olah menggambarkan pengantin perempuan telah hamil ketika bernikah dan menaiki pelamin sedangkan bukan itu yang berlaku sebenarnya. Bagi individu yang bunting pelamin, anda akan mendapati usia janin anda akan awal 1-2 minggu sebelum tarikh pernikahan dan mungkin boleh mengundang pandangan seorang orang ramai. 

Contohnya anda berkahwin baru 4 minggu, namun doktor mengatakan usia janin anda 6 minggu. Di sinilah munculnya kata-kata nista daripada golongan yang suka menghina namun fakta pun tak tahu. Jika ada yang mengutuk atau pandang serong, jangan bimbang atau malu kerana mereka dengan secara sengaja telah menunjukkan kebodohan dan keaiban mereka secara terbuka. 

Saya jelaskan kenapa perkara ini berlaku. Jika anda rujuk buku antenatal, ada tertulis tarikhr Last Menstrual Period (LMP) dan doktor juga akan bertanya bila hari pertama haid (menses) yang terakhir. LMP ialah hari pertama haid bermula. 

CONTOH: 

14 Januari 2017 (2 minggu sebelum nikah) 
  • Ovulation pula ialah hari ovum dilepaskan kira-kira sekitar hari ke-14.

28 Januari 2017 (pada hari pernikahan)
  • Persenyawaan pula boleh berlaku dalam tempoh 12-24 jam selepas ovum dilepaskan. Sperma boleh 'hidup' 3-7 hari di dalam rahim untuk 'bersaing' mempersenyawakan ovum yang akan 'luput' selepas tempoh tersebut. 

28 Januari 2017 (pada malam pertama pernikahan)
  • Kebiasaannya wanita disahkan hamil selepas 'missed period' atau tidak datang haid selama 1-2 minggu dan ini akan 'trigger' pasangan untuk melakukan ujian kehamilan melalui air kencing pada minggu ke-5 atau ke-6 dari tarikh haid yang pertama. 

28 Februari 2017 (4 minggu selepas nikah dan 6 minggu selepas haid yang pertama)
  • Apabila anda mengandung, doktor akan mengira usia janin anda bermula daripada tarikh LMP (sekiranya sangat pasti tarikh tersebut dan haid anda teratur serta tidak mengambil perancang keluarga) walaupun ketika itu belum ada persenyawaan berlaku. 

LMP 14 Januari 2017
  • maka usia janin ialah 6 minggu pada 28 Februari (usia janin yang dikira melalui tarikh haid pertama bukanlah usia janin sebenar kerana jani terbentuk pada hari persenyawaan). Bagi kes-kes lain yang tidak memenuhi syarat dalam kurungan, usia janin ditentukan melalui imbasan ultrasound seawal usia yang boleh. 

Jangan bimbang kerana semua kajian telah mengambil kira faktor ini untuk menentukan sama ada janin anda telah matang, belum matang, melebihi usia matang atau apa-apa intervensi perubatan atau dalam menentukan parameter ultrasound. 

Namun apabila mengetahui fakta ini, ada pihak yang pandai-pandai lewatkan sendiri dua minggu sesuka hati seolah-olah penyelidik-penyelidik sebelum ini tidak pernah terfikir perkara sebegini. Ini hanya membahayakan diri dan bayi dalam kandungan. 

Contohnya selepas tempoh EDD iaitu tarikh dijangka bersalin, ada pihak yang enggan ke hospital dan sengaja menunggu dua minggu lagi kononnya mereka tahu tentang ini. Sedangkan dengan berbuat demikian, risiko bayi mati dalam kandungan adalah sangat tinggi. 

Akhir sekali, jangan pandang serong pada individu yang bunting pelamin kerana anda hanya akan menampakkan kebodohan diri sendiri. 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment