Oleh Burik Kumandang
RAMAI ISTERI LUAH PERASAAN DI FB, KESAL DENGAN PERANGAI SUAMI
Sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga, ada banyak perkara yang perlu diambil kira. Kalau nak cari lelaki untuk dijadikan sebagai suami, selidik latar belakang dan perangai lelaki itu. Jangan kerana wajah dia kacak atau banyak duit, terus nak kahwin dengan dia. Tidak.
Saya selalu perhatikan golongan perempuan yang berkahwin awal ini banyak meluahkan perasaan di media sosial di mana ada yang tidak dilayan oleh suami, dipukul, suami malas bekerja, suami tak ada duit dan banyak lagi. Tidak kurang juga, ada yang minta cerai sebab dah tak tahan dengan perangai suami sendiri.
Saya tertanya-tanya, macam mana keadaan mereka bercinta sebelum kahwin, si perempuan ini tak siasat dulu ke perangai bakal suaminya?
DAH KAHWIN PUN, IBU BAPA YANG KENA TANGGUNG
Baru-baru ini saya pergi ke Hospital Sibu, mata saya tajam memerhatikan seorang perempuan yang menurut jururawat, dia baru berusia 14 tahun dan suaminya, 16 tahun. Kasihan melihatnya. Bukan apa, kahwin di usia muda tetapi suami pula tak ada kerja. Terpaksalah ibu bapa mereka yang kena tanggung perbelanjaan seperti membeli susu untuk cucu mereka.
Sudahlah masa kecil ibu bapa yang tanggung, dah besar dan ada anak sendiri pun, ibu bapa kena tanggung. Ada segelintir suami bila ada duit, beli arak dan berjoli dengan rakan-rakannya tanpa mempedulikan anak dan isteri yang kelaparan di rumah.
Ingatlah wahai perempuan, lebih baik selidik dulu latar belakang bakal suami kerana mereka bukan hanya sekadar suami kita, tetapi menantu kepada ibu bapa kita, bapa anak kita dan ipar kepada adik beradik kita. Biar bakal suami tak kacak, tak banyak duit asalkan dia bukan kaki pukul, pemalas dan boleh menerima keluarga kita sudah memadai.
Tiada gunanya mencari bakal suami yang kaya raya, banyak duit dan harta tetapi di kemudian hari dia mensia-siakan isterinya. Cerminkanlah muka diri itu sendiri kalau terlalu memilih. Tiada guna menyesal di kemudian hari nanti.
LELAKI, CARILAH PEREMPUAN YANG SEDERHANA ORANGNYA
Yang lelaki pula, kalau nak cari perempuan untuk dijadikan isteri, periksa saja akaun Facebooknya dan lihat semua status yang pernah dimuat naik sebelum ini. Kalau dia pernah muat naik gambar di panggung wayang, pergi gym, pakai pakaian mahal dan yang sewaktu dengannya, elok jangan didekati. Sebaliknya carilah perempuan yang sanggup makan mee kolok di kedai kaki lima, pendek kata tak cerewet. Tak cantik tak apa, asalkan dia tak meminta-minta dan boleh hidup susah senang bersama.
Selain itu, jangan cari perempuan yang jenisnya malas mengemas rumah. Tak ada gunanya perempuan seperti ini dijadikan sebagai isteri. Seluar dalam sendiri pun malas nak basuh, bangun pagi pula jam 9 atau 10 pagi. Macam itu nak tempuh alam perkahwinan? Itu belum lagi pinggan mangkuk dibiar penuh dalam sinki. Kalau mertua dah tegur, mertua pula dikatanya jahat dan selalu cari kesalahan dia.
Oleh sebab itu, lelaki perlu mengenali seseorang perempuan itu dengan baik dan teliti sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Jangan bila dah tua nanti, lelaki pula jadi 'mesin ATM' isteri sepanjang masa. Selidik dulu perangai bakal isteri, bukannya terus jatuh cinta bila tengok kulit dia putih atau punggung dia melentik. Paling mudah, tengok perangainya sama ada boleh dijadikan sebagai kawan kepada ibu kita di rumah atau sebalik.
ORANG KAHWIN, KAU PUN SIBUK NAK KAHWIN
Sebelum semua perkara di atas, buat tabung simpanan kahwin. Bila duit dah cukup, barulah layak nak fikir tentang kahwin. Zaman sekarang harga barang semua semakin mahal. Nak beli susu anak, barang dapur, pampers anak dan itu belum lagi pampers isteri.
Ubah perangai diri itu dulu, jangan tengok orang lain kahwin kau pun sibuk nak kahwin juga. Trend seperti itu akan membinasakan diri. Sebaliknya fikirlah macam mana anak kita nak sekolah nanti kalau kita tak ada duit?
Kesimpulannya, carilah bakal pasangan hidup yang ada budi bahasa, yang boleh hidup bersama dengan kita sampai akhir hayat. Paling penting, jangan tergesa-gesa nak kahwin. Tak mengapa kalau kita lambat kahwin, janji kita tak menyusahkan diri dan orang lain di kemudian hari.
Blogger Comment
Facebook Comment