Apabila kakitangan kerajaan dinaikkan gaji, pekerja swasta bising. Apabila pekerja bank dapat 6 bulan bonus, sektor lain pula bising. Ironinya apabila pemain bola sepak tak dibayar gaji, semua senyap. Nampak perasaan hasad dengki, iaitu bising apabila orang lain dapat lebih. Tetapi bila orang lain teraniaya, buat tak tahu sahaja.
Di media sosial, apabila guru mengeluh beban kerja tinggi, maka netizen kecam kerjaya guru secara berjemaah. Apabila doktor pula mengeluh, juga dikecam secara berjemaah. Semestinya kecaman itu disertai dengan membanding-bezakan dua kerja berbeza. Bandingan dua kerjaya adalah ibarat membandingkan buah epal dengan oren dan kedua-duanya tidak akan pernah sama.
HAZAD
Setiap perkerjaan ada hazad tersendiri. Hazad ialah sesuatu yang berpotensi mendatangkan bahaya dan terbahagi kepada lima iaitu:
- Fizikal
- Biologikal
- Kimia
- Ergonomik
- Psikososial
Bagi pekerja kilang atau juruteknik, mereka terdedah kepada mesin berbahaya, ergonomik (contohnya berdiri lama), kerja shift, majikan tidak ambil peduli dan lain-lain.
Ketika bekerja di Jabatan Kecemasan, setiap minggu pasti ada kes putus jari akibat daripada mesin. Bayangkan dengan gaji yang tidak seberapa, kehilangan jari itu sesungguhnya tidak setimpal. Lagi teruk sekiranya pekerja tidak tahu hak mereka agar dilapor kepada DOSH dan buat tuntutan di SOCSO.
Bagi guru, walaupun seringkali dikatakan kurang beban oleh netizen, namun sebenarnya mereka juga berpotensi untuk stress. Bukan sahaja dengan karenah pelajar, tetapi juga ragam ibu bapa. Lihat sahaja viral perangai ibu bapa yang kurang kasih sayang membawa isu remeh temeh bagi mencaci guru di media sosial.
Ejen hartanah pula, bukan sedikit cacian yang mereka terima. Dituduh menaikkan harga rumah, ditipu pelanggan, tidak dibayar komisen dan lain-lain.
Pemandu bas dan lori. Ada yang dipaksa kejar trip untuk syarikat sehingga berisiko menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa. Mereka juga terdedah kepada hazad ergonomik akibat gegaran kenderaan berat ke atas tubuh badan mereka yang memandu jarak jauh. Jauh, semestinya juga sering berjauhan daripada keluarga.
Banyak lagi, anda tambah sendiri di ruangan komen.
PENAT
Semua jenis kerja pun penat. Buruh binaan penat menggunakan tenaga. Cikgu penat mendidik anak bangsa. Jaga (pengawal keselamatan) penat menjaga. Doktor penat merawat dan mendiagnosa. Peguam penat berhujah dan berbicara. Hakim penat menghakimi.
Semua kerja ada penat tersendiri. Guna tenaga penat, perah otak pun penat. Jangan ingat mereka yang asyik bermesyuarat itu bersenang lenang. Jangan juga ingat mereka yang menyusun batu bata itu tidak menggunakan minda.
Janganlah suka membanding-bezakan antara kerjaya tetapi jadilah klien yang memahami setiap masa kerana yang itu pun manusia, sama seperti anda dan saya.
Blogger Comment
Facebook Comment