BANDA ACEH - Pihak berkuasa Aceh melaksanakan hukuman sebat terhadap 13 pesalah kerana melanggar undang-undang syariah di wilayah itu semalam, lapor Harian Metro.
Hukuman tersebut dijalankan di Masjid Baiturrahman di Kampung Kramat, sambil disaksikan ratusan para penduduk setempat.
Sepatutnya, 14 pesalah dihukum sebat semalam. Namun hukuman terhadap seorang wanita ditangguhkan selepas dia disahkan hamil.
Wanita berusia 21 tahun itu ditangkap kerana berkelakuan tidak sopan dengan kekasihnya beberapa bulan lalu. Wanita itu dan kekasihnya telah berkahwin, namun hukuman terhadap mereka tetap dilaksanakan.
Pasangan wanita itu bersama 10 lagi pasangan dihukum sebat 21 dan 25 kali kerana didapati bersalah berkelakuan tidak sopan di tempat awam.
Satu lagi pasangan pula dihukum sebat sebanyak 9 kali selepas didapati bersalah kerana berdua-duaan di tempat tersembunyi.
Seorang wanita yang tidak didedahkan identitinya, dikenakan hukuman rotan sebanyak 23 kali kerana berdiri terlalu dekat dengan teman lelakinya.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Aceh, Zainal Arifin berkata, hukuman sebat itu bukan bertujuan menghukum dan memalukan pesalah, tetapi sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua agar menghormati undang-undang Islam.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah dan pesalahnya akan dikenakan hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan termasuk perjudian, minum arak dan seks luar tabii. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment