BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di atas pertuduhan menyamun sebuah restoran makanan segera yang viral di media sosial semalam, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, dalam kejadian 10 Februari lalu, suspek berumur 19 tahun yang baru sehari bekerja di restoran tersebut bertindak membuka tingkap kaunter pandu lalu dari dalam sebelum melarikan laci wang mesin tunai dengan dibantu oleh seorang rakannya yang menunggu di luar tingkap.
Bagaimanapun, perbuatan mereka itu disedari pekerja lain lalu mengejar suspek yang melarikan diri dengan motosikal dan berjaya ditahan tidak beberapa lama kemudian.
"Suspek terjatuh bersama laci wang tersebut, manakala rakannya berjaya melarikan diri. Suspek kemudian diberkas orang ramai yang berada di kawasan itu sebelum diserahkan kepada polis," katanya.
Ketika suspek dihadapkan ke mahkamah semalam, suspek mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, suspek telah dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin RM3,000. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment