Sejarah Asal Ayat Seribu Dinar

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ


.
Di zaman sahabat, dikisahkan salah seorang hartawan bermimpi dalam tidurnya bahawa seorang lelaki datang kepadanya lalu berkata; “Beramallah dengan hartamu sebanyak seribu dinar kepada fakir miskin yang banyak berkeliaran dan meminta-minta.” Disebabkan mimpi itu datang berulang-ulang, maka dilaksanakan apa yang dimimpikannya itu iaitu memberi sedekah kepada fakir miskin sebanyak seribu dinar.
.
Pada suatu malam, dia bermimpi pula bahawa lelaki itu datang lagi kepadanya dan mengajarkan beberapa kalimat ayat-ayat Al-Quran (Ayat Seribu Dinar) lalu dianjurkan agar dibaca dan diamalkan setiap pagi dan petang. Maka Allah akan melepaskan daripada bahaya yang akan menimpa diri.
.
Setelah hartawan itu bangun daripada tidurnya, ia memikirkan dengan penuh perhatian apa yang dialami dalam mimpinya seolah-olah ada hubungan dengan mimpinya yang terdahulu. Maka dengan tidak ragu-ragu dibacanya dan diamalkannya kerana kalimat-kalimat itu adalah ayat Quran yang tidak diragukan lagi kebaikannya.
.
Tidak lama kemudian, hartawan tersebut berada dalam suatu pelayaran dengan menumpang sebuah kapal layar. Ia membawa barang dagangannya. Setelah kapal itu berada di tengah-tengah samudera yang luas, maka bertiuplah angin taufan yang kuat sehingga menyebabkan laut menjadi bergelora. Kapal layar itu terumbang-ambing mengikut pergerakan air laut yang bergelombang besar, menyebabkan kesemua penumpang menjadi cemas dan ketakutan.
.
Hari mulai malam dan hujan turun dengan lebat sekali. Tetapi si hartawan tetap tenang dan mengharapkan pertolongan Allah SWT sambil membaca ‘ayat-ayat 1000 Dinar’ yang diberi dalam mimpinya itu:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا﴿٢ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا ﴿٣

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
.
Nakhoda dan anak kapal berusaha sekuat tenaga untuk menyelamatkan kapal dan penumpangnya tetapi keadaan semakin meruncing dan bertambah dahsyat pukulan geloranya. Akhirnya kapal layar itu terhempas pada sebuah batu karang yang besar hingga menyebabkan bahtera tersebut pecah.
.
Walau bagaimanapun, sihartawan telah terdampar di tepi pantai dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan bersama-sama kesemua harta barangan dagangannya.
.
Demikianlah khasiat ayat yang diterimanya dalam mimpi, dan oleh sebab dia beramal dengan bermodalkan 1000 (seribu) Dinar, lalu ayat-ayat itu disebut ‘Ayat Seribu Dinar’.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
Artikel Berkaitan:

Kelebihan Dan Hikmat Ayat Seribu Dinar  (Klik Di Sini)

.
.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.


via Bin Usrah
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment