JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berusia lingkungan 20'an cedera di seluruh badan akibat dipukul 'majikannya' kerana gagal mencapai sasaran jualan, dakwa pengadu.
Mieyah Eyah, individu yang bertanggungjawab memuat naik gambar dan status dakwaannya itu berkata, mangsa yang merupakan adik kepada rakannya telah dipukul hanya kerana gagal mencapai sasaran jualan barangan seperti dompet, tali pinggang dan lain-lain.
"Dia buat adik kawan saya separuh mati disebabkan tak capai target sale berniaga di depan Maybank Perling setiap malam," katanya.
Menurut Mieyah, mangsa telah dipukul semenjak September 2016 dan hanya diketahui oleh ahli keluarga mangsa baru-baru ini.
Menurut netizen bernama Khai Khairilikmal berkata, dia kerap bertemu dengan mangsa sebelum ini dan mangsa memang merayu sangat-sangat menyuruh dia membeli barang-barang yang dijual.
"Kalau tak silap, saya selalu jumpa brader ini. Last jumpa memang dia merayu sangat suruh beli barang dia jual dalam keadaan muka bengkak," katanya.
Berdasarkan gambar, mangsa cedera teruk di bahagian belakang badan, tapak kaki, siku, kedua-dua belah telinga.
Status Mieyah itu kini dikongsi sebanyak 1,614 kali di media sosial dan netizen mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan berhubung kejadian itu. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment