Roti Canai Punya Pasal, Perut Terburai


GOMBAK - Gara-gara salah faham ketika memesan roti canai, seorang anggota polis berpangkat Konstabel, nyaris maut ditikam seorang lelaki, pagi semalam, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi di sebuah restoran di Menara A, Kondominium Selayang Point, Batu Caves, mangsa yang juga anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman berusia 26 tahun pergi ke restoran tersebut bersama tiga lagi rakannya dan memesan roti canai dari seorang lelaki yang disangkakan pekerja restoran. 

Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak mengendahkan mangsa lalu beredar dari premis terbabit. 

Seorang lagi lelaki dipercayai rakan lelaki tadi kemudian dikatakan telah menunjuk isyarat lucah kepada mangsa. Tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki kedua itu menyebabkan mangsa mengejarnya sehingga ke lobi tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, berlaku pergaduhan di antara mangsa dan lelaki terbabit sebelum mangsa ditikam di bahagian perut menggunakan senjata tajam, kerambit. 

"Susulan dari kejadian itu, kita telah menahan dua lelaki berusia 24 tahun dipercayai terbabit dalam kes itu dan mereka direman selama empat hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan," katanya. 

Mangsa dihantar ke Hospital Selayang oleh rakannya dan keadaannya kini dilaporkan stabil. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment