JAKARTA - Enam sekeluarga maut selepas dikurung sehari semalam bersama lima lagi mangsa yang lain dalam sebuah bilik air kecil di sebuah rumah di Pulomas Utara, Pulogadung, Jakarta Timur, semalam, lapor Harian Metro.
Keenam-enam mangsa termasuk dua kanak-kanak itu dipercayai meninggal dunia awal pagi tadi akibat kesesakan nafas kerana kekurangan oksigen, selepas dikurung sejak pagi semalam dalam bilik air seluas 1.5 meter lebar dan 1.5 meter panjang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Residen Jakarta Timur Sapta Maulana berkata, semua yang maut dan selamat itu ditemui selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu pagi tadi.
"Kesemuanya sebelas orang dikurung perompak dalam bilik air yang kecil dan pintu bilik air itu dikunci dari luar sejak Isnin.
"Kejadian itu hanya disedari hari ini oleh seorang saudara perempuan mereka yang mengunjungi rumah tersebut pagi tadi," katanya.
Sheila Putri, yang kebetulan mengunjungi rumah keluarga berkenaan pada jam 10 pagi, terkejut apabila mendapati pintu pagar dan pintu rumah berkenaan terbuka luas. Apabila dia masuk, dia terdengar suara orang menjerit meminta tolong sebelum menghubungi polis untuk meminta bantuan.
11 mangsa sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dikurung dalam bilik air yang kecil ini sehari semalam sebelum ditemui saudara mereka pada pagi tadi | Foto - Netizen |
Sebaik saja polis membuka pintu bilik air itu, enam mangsa sudah meninggal dunia, manakala lima lagi dikejarkan ke hospital kerana keadaan mereka terlalu lemah dan mengalami luka melecet akibat terpaksa berhimpit dalam bilik air yang kecil itu.
Beginilah keadaan kesemua mangsa ketika ditemui | Foto - Netizen |
Mereka yang maut ialah, tuan rumah yang juga seorang artikek dikenali sebagai Dodi Triono, 59, dua anak perempuannya Diona Arika Andra Putri, 16, dan Dianita Gemma Dzalfayla, 9, dua pemandunya berusia 40'an dan seorang lelaki dipercayai anak teman Dodi.
Mangsa-mangsa yang cedera ialah Emi, 41, anak perempuan Dodi bernama Zanette Kalila Aazaria, 13, dan tiga pembantu rumahnya Fitriyanim, Windy dan Santi berumur antara 22-23 tahun.
Polis setakat ini belum mengesahkan barangan yang telah dirompak dan siasatan masih dilakukan. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment