"Saya dah tiga kali keluar dengan dia bang," keluh seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dengan wajah merah padam menahan malu. Remaja 19 tahun itu ditahan dalam satu operasi membanteras samseng jalanan di Stulang Laut, Johor Bahru awal pagi tadi. Kira-kira jam 3 pagi tadi, remaja bermotosikal itu didapati tidak memiliki lesen memandu dan ketika ditahan didapati seorang remaja perempuan lengkap bertudung membonceng bersamanya.
Selepas dibawa ke Cawangan Trafik Ibupejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, remaja perempuan berkali-kali disoal anggota trafik akan nama serta dminta ditunjukkan kad pengenalannya untuk diperiksa. "Adik, nama siapa? Cuba cakap nama. Keluarkan kad pengenalan," pinta seorang anggota polis trafik kepada remaja perempuan itu namun gadis itu hanya menundukkan wajahnya, diam seribu bahasa.
Putus asa dengan tindakan gadis itu mendiamkan diri, anggota polis itu beredar dan seorang lagi anggota menghampirinya bagi mendapatkan kad pengenalan gadis itu. Dia terus berdiam. Langsung tidak diangkatnya wajahnya. Tudung dipakai kemas bersama blouse berlengan pendek dipadankan dengan skirt panjang. Manis gadis ini kata aku. Pada pandangan mata kasar, gadis ini dalam lingkungan belasan tahun. Mungkin 18 tahun. Aku cuba meneka. Aku juga cuba bertanya dengan gadis ini, langsung tidak diendahkan. Sepatah pun tidak terkeluar dari mulutnya.
Dia hanya tertunduk dan ternampak bulu matanya yang panjang. Mesti minat Che Ta ni, detik hati aku.
Sejam kemudian, seorang lelaki berusia lingkungan 40an tiba di perkarangan cawangan trafik IPD Johor Bahru Selatan ini. Aku terlihat dia menghampiri seorang anggota Rela. "Anak aku kena tahanlah," katanya kepada anggota Rela itu. Difahamkan, anggota Rela itu berjiran dengan lelaki itu. "Mana ada anak kau. Bukan aku tak kenal semua anak kau. Mana ada. Kalau dia kena tahan mesti aku tahu," sambut anggota Rela itu.
Aku terus beredar kerana ia satu pandangan biasa setiap kali operasi terhadap mat rempit dilakukan. Mulalah balai trafik dikerumuni ibubapa mencari anak-anak mereka. Tak lama kemudian, terdengar jeritan suara lelaki seperti dalam kemarahan.
"Apa kau nak jadik ni? Bukak semua ni. Bukak. Kalau tahu mak kau, nahas kau. Bukak!" terdengar jeritan seorang lelaki.
Bila dijenguk, rupa-rupanya lelaki tadi yang datang ke balai mencari anaknya sedang merentap tudung seorang gadis. Aku lihat semua mata tertumpu kepadanya.
Bila didekati, rupanya lelaki itu sudah menemui anaknya. Tetapi anaknya adalah lelaki. Yang ditemui, anaknya berpakaian seperti wanita. Siap bertudung. "Umur dia 17 tahun, dah berhenti sekolah, kerja kat car wash," jelas lelaki itu. Sebaik ditarik tudung anaknya itu, kelihatan anak tudung hitam. "Ini anak tudung mak kau. Nahas kau kalau mak kau tahu ni," terdengar jelas kekecewaan si bapa itu.
Semua yang berada di perkarangan balai itu terutama penunggang motosikal yang sudah ditahan ternganga seketika menonton drama kehidupan ini. Seketika kemudian ada yang tak dapat menahan ketawa namun ditegur anggota sukarelawan polis. "Dia ni encik, sejak dua tiga bulan lepas ni, asyik bercampur dengan pondan. Dulu tak macam ni. Saya pun tak tahu kenapa jadi macam ni. Ini tudung mak dia," kata bapa remaja ini.
Remaja yang menunggang motosikal bersama budak ini dipanggil. Merah padam mukanya. Terbeliak matanya seperti baru melihat hantu. Tak lekang matanya ke arah remaja yang dibawanya sebelum ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis trafik. Tak tahu pandangannya itu geram marah atau geram sebab sudah dibuka 'aurat' 'aweknya' itu. Tak tahulah. "Saya tak tahu dia lelaki kak, dah tiga kali saya keluar dengan dia," keluh remaja itu kepada seorang anggota sukarelawan polis wanita.
"Takkanlah awak tak tahu sebab dia kan naik motor dengan awak," tanya seorang anggota polis. Terdiam si remaja itu.
Dilihat pada 'gadis' itu, mungkin dia memperdaya 'teman lelakinya' kerana ternampak tali bra tersingkap sedikit di bahu 'gadis' itu. Mungkin ketika remaja lelaki itu membrek, terasalah pakaian dalam 'teman wanitanya' itu. Mungkinlah. "Patutlah bila saya telefon dia, suara dia berbisik macam cakap dalam kelambu," kata si remaja lelaki yang sudah ditipu bulat-bulat 'gadis' yang diminatinya. Lain tonasi dia. Bunyi macam kecewa ada, bunyi macam marah pun ada. Perasaan dia mungkin keliru masa tu.
'Gadis' ini bagaimanapun tidak terus ditahan dan dibenarkan pulang bersama bapanya. Semua yang berada di balai menghantar keduanya dengan pandangan. Bukan untuk melihat sama ada 'gadis' itu melenggok. Tidak. Semua masih kehairanan.
Manakala si lelaki yang membawa keluar 'gadis' ini terus dikerumuni penunggang motosikal lain yang turut ditahan. Ada yang agak berani sikit, ketawa terbahak bahak. Nasib baik si lelaki tu masih cool.
Apapun, bagaimanalah agaknya tidur dia selepas ini. Bagaimana agaknya cara dia melihat wanita selepas ini. Macam manalah agaknya si remaja lelaki tu nak berdepan dengan kawan-kawannya selepas ini. "Bro, awek kau bertudung itu hari mana?"
Apa agaknya jawapan brader kita tu nanti. Kesian dia. Kita doakan dia mendapat jodoh dengan wanita sejati, segera.
sumber : http://wartawan-jalanan.
Blogger Comment
Facebook Comment