Tonton dokumentari pornografi, Amar Asyraf selar pelakon malas dan samakan dengan bintang lucah

Amar Asyraf menyelar segelintir pelakon yang bersikap acuh tak acuh di lokasi penggambaran, malah menyamakan mereka seperti bintang filem lucah.
Pelakon yang mula dikenali dengan drama Setia Hujung Nyawa itu berbuat demikian menerusi status dimuat ke laman sosial Instagramnya, semalam.
“Berlakon, main-main berlakon, berlakon untuk terkenal dan ‘pornstar’,” tulis Amar bersama keterangan gambar yang bagai menceritakan realiti dunia lakonan menerusi pengamatan dirinya.
Menurut Amar, beliau mempunyai alasan kukuh untuk membandingkan segelintir pelakon seperti bintang pornografi.
“Enam bulan kebelakangan ini, saya ada beberapa kali menonton dokumentari mengenai industri pornografi di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun. Dari situ saya lihat di sekeliling, termasuklah di kalangan pelakon. Apabila dibuat perbandingan, sama saja kerja bintang pornografi dengan pelakon.
“Kedua-duanya bertunjangkan seni, namun daripada konsep berbeza. Jadi, apa yang membezakan pelakon dan mereka? Bezanya adalah hasil. Pelakon sendiri kenalah berbeza-beza hasilnya kerana matlamat sesebuah cerita tidak sama.
“Kalau bintang pornografi, hasilnya mereka mencapai ‘klimaks’ dalam babak dijayakan. Apakah kita sebagai pelakon pun mahu mencapai matlamat sama seperti bintang pornografi?
“Kalau mereka boleh memberikan tumpuan di set penggambaran, kenapa tidak sesetengah daripada kita yang bernama pelakon boleh buat perkara sama? Pelakon kita cuma mahu kelihatan kacak dan cantik. Cubalah jadi kreatif sedikit!” katanya kepada BH Online.
Tambah Amar lagi, segelintir pelakon hari ini hanya ingin menjadi terkenal dan kaya.
“Cikgu saya sendiri cakap, semua orang boleh berlakon, tetapi tidak semua boleh jadi pelakon. Sekarang, ada pelakon yang main-main apabila berlakon.
“Mereka datang ke lokasi penggambaran sekadar baca skrip, tak pernah hendak faham apa yang dibacanya. Kebanyakan orang berlakon sekadar melontarkan dialog.
“Kalau ditegur pula, mereka akan buat bodoh saja. Mereka tiada usaha dan perubahan pun. Apa yang dipentingkan ialah telefon bimbit di lokasi penggambaran, jumlah pengikut di laman sosial dan buat rakaman langsung di Instagram, contohnya.
“Kalau berlakon sekadar nak jadi terkenal dan banyak duit, lebih baik tak payah berlakon.
“Besar tanggungjawab pelakon kepada masyarakat sebenarnya. Jadi, berlakonlah dengan bersungguh-sungguh. Ingat, Maria Ozawa dan Mia Khalifa (bintang lucah) pun berlakon juga. Jadi, bezakanlah sikit diri kita sebagai pelakon dengan mereka,” katanya.


Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment