Jenazah ibu naib juara Akademi Fantasia musim kedua, Adam yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut, dekat sini, jam 11.45 pagi tadi.
Pengebumian ibu Adam, Noorsarinah Duil, 53, dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta sahabat handai dan penduduk kampung.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.45 malam tadi di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Arwah sebelum ini dilaporkan pernah menjalani pembedahan jantung pada bulan lalu dan sejak itu berada di bawah pemantauan doktor.
Beliau meninggalkan suami dan empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 17 hingga 33 tahun.
Sementara itu, Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 33, berkata dia dimaklumkan mengenai keadaan ibunya yang nazak sekitar jam 7.30 malam ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya memang sudah merancang awal untuk balik ke Kota Kinabalu semalam, namun tidak menyangka arwah ibu pergi pada hari sama.
“Arwah ibu menghidap sakit jantung sejak tahun 2010 lagi dan menjalani pembedahan pintasan jantung pada awal bulan lalu. Selepas pembedahan itu, ibu terus dimasukkan ke dalam wad khas bagi pemantauan rapi,” katanya yang kali terakhir bertemu arwah ibunya seminggu lalu sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Blogger Comment
Facebook Comment