BAGAIMANA MEREBUS TELUR DENGAN BETUL?



Telur ada berbagai-bagai jenis, tergantung kepada haiwan yang menelurkannya itu. Bentuk dan saiz telur juga bermacam-macam bentuk dan rupa. Telur yang paling popular ialah telur ayam dan telur itik yang ditelurkan oleh ayam betina dan itik betina. Telur ayam dan itik memang boleh dimakan, terutama untuk dijadikan sebagai lauk atau bahan untuk membuat kuih-muih.

Telur-telur itu pula ada yang dimakan dan sedap rasanya, dan ada pula telur yang tidak  dimakan, seperti telur cicik, telur semut, telur lipas dan telur ular.


Ada beberapa cara pula untuk memasak telur ayam atau itik untuk dimakan sebagai lauk dan sebagainya. Biasanya ia digoreng sebagai telur “mata kerbau” atau telur dadar. Ia juga dimasak gulai lemak kuning dan  dicampur dengan timun batang, atau digoreng kicap, dan sebagainya lagi mengikut selera masing-masing.


Untuk rebusan pula ada dua cara ianya dimakan, iaitu masak separuh, iaitu isinya masih setengah cair dan telur yang direbus sampai masak keras.

Adakah semua orang tahu untuk memasak telur masak keras? Kalau anak-anak atau cucu-cucu kita yang baru belajar memasak bertanya berapa lama untuk memasak telur supaya masak keras, kerana mereka ingin meliciknya untuk dijadikam sandiwic atau memakannya begitu sahaja untuk dicicah dengan budu atau kicap, atau dibelah untuk dimakan dengan nasi lemak? Dan berapa banyak air yang diperlukan? Apa jawapan kita?

Kalau terlalu banyak air tentu tidak ekonomik, kerana ianya membazirkan penggunaan air dan juga bahan bakar untuk memasakkannya

Sebenarnya untuk memasak enam biji telur masak keras memerlukan tiga cawan air kosong sahaja. Masa yang diperlkukannya hanya 15 minit, malah kalau telur itu tidak sejuk dan tidak baru dikeluarkan dari peti sejuk, selama 12 minit sudah mencukupi untuk memasakkannya.

Air hendaklah  dididih secara perlahan-lahan, bukannya secara mendadak dengan api yang besar.

Kemudian telur yang masak itu hendaklah disejat airnya, kemudian segera dimasukkan atau direndam ke dalam air yang dingin supaya ia segera sejuk. Dan ini dapat menghalang telur kuning menjadi hitam sekelilingnya yang menyebabkannya kelihatan huduh sebagaimana sering kita lihat ketika membeli nasi lemak dan sebagainya.

Selepas itu buanglah kulitnya untuk mendapatkan isinya yang masak keras itu.

Sementara itu secara tradisi pula orang-orang tua kita di kampung-kampung  bila mereka merebus telur, terutama dengan banyak seperti untuk majlis-majlis perkahwinan mereka memasukkan beberapa biji beras dalam periuk yang mengandungi telur dan air sebelum dinyalakan api di atas dapur.

Bila api dinyalakan dan air mendidih, dan bila beras yang dijerang bersama telur tadi masak menjadi nasi, itulah tandanya telur itu telah masak dan boleh diangkat.


Semoga memberi manfaat jua.
 



Sumber : pondokrahmat


via Bin Usrah
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment