BAYI KRITIKAL DIPATUK ULAR TEDUNG


MERSING - Seorang bayi lelaki dalam keadaan kritikal dipercayai telah dipatuk seekor ular tedung di kediamannya di Kampung Wak Salam, malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 malam itu, Muhammad Iskandar Syukri, sedang bermain di ruang tamu sebelum menangis tiba-tiba.

Ibu mangsa, Nur Jannah Abdullah, 17, pada ketika itu sedang mengemas rumah dan mendengar tangisan itu segera mendapatkan anaknya.

"Saya sedang mengemas rumah ketika kejadian itu. Mendengar tangisannya saya terus ke sisi anak. Saya dapati kaki kiri anak saya lebam. Saya sapukan ubat di kakinya tanpa menyedari bahawa kakinya bengkak dipatuk ular.

"Saya ternampak seekor ular tedung yang keluar dari bawah tikar, terus menjerit memanggil suami yang ketika itu baru pulang dari kerja," katanya.

Suaminya, Mohd Syukri Abdullah, 20, terus menangkap dan membunuh ular tersebut dengan bantuan beberapa orang jirannya sebelum menghantar mangsa ke Hospital Mersing.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment