ALOR SETAR, KEDAH - Tidak puas hati bekas teman wanita mahu memutuskan hubungan cinta, seorang lelaki tergamak menikam perut mangsa dengan senjata.
Dalam kejadian jam 7 malam Isnin di tepi jalan Taman Serindit, Jalan Datuk Kumbar, difahamkan mangsa yang berusia 23 tahun bertemu dengan suspek, 23, untuk membincangkan soal hubungan mereka sebelum berlaku pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pertengkaran pasangan itu bertukar menjadi ganas apabila suspek tidak dapat menerima hakikat yang mangsa mahu memutuskan hubungan.
Berang dengan hasrat wanita itu, suspek terus mengeluarkan senjata tajam dan menikam perut mangsa beberapa kali sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan jari dan lutut kirinya cedera.
"Mangsa mengalami kecederaan yang serius, pendarahan dalaman di perut, dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HBS). Setakat ini keadaan mangsa dilaporkan stabil, namun masih lemah kerana kehilangan banyak darah," katanya.
Polis kini sedang mengesan suspek yang berasal dari Jalan Tun Razak dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Blogger Comment
Facebook Comment