'Saya minta maaf, saya tidak berniat jahat dengan membunyikan hon kereta pada masa itu' - Toh Chai Eun


JOHOR BAHRU - "Saya tidak berniat jahat atau ingin menyinggung perasaan (mana-mana pihak) dengan membunyikan hon kereta pada masa itu," demikian kata Toh Chai Eun, 28, pemandu Toyota Camry yang dipukul kerana membunyikan hon di hadapan Surau Austin Perdana, 5 Mei lalu. 

Lapor Sinar Harian Online, setelah hampir seminggu kes berkenaan berlalu, Toh Chai Eun tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Islam terutamanya mereka yang terlibat dalam kes berkenaan. 

Toh Chai Eun ditemani abangnya, Toh Chai Chung, 30, hadir dalam satu perjumpaan di Pejabat Agama Islam Johor yang disertai ahli jawatankuasa surau terlibat, Pengerusi Agama, Mutalip Abdul Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut. 

"Apa yang berlaku pada waktu itu kerana saya telah terperangkap dalam kesesakan jalan di situ dan dalam urusan penting. Ini menyebabkan kereta saya diserang dan dirosakkan dan saya juga mengalami kecederaan," katanya. 

Toh Chai Eun cedera di bahagian leher, kaki dan badan sehingga menyebabkan pergerakan dan percakapannya terbatas. 

"Saya juga berharap semua pihak tidak lagi memanjangkan isu ini menjadi lebih besar dan maksud yang sampaikan iaitu keamanan dan keharmonian antara semua kaum di Malaysia. 

"Diharap selepas kenyataan ini saya tiada lagi ulasan dan cerita mengenai kejadian tersebut di media untuk tujuan menghasut rakyat dan menjejaskan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi surau, Mohd Khaiidzir Ismail berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan keseluruhannya. 

"Kami mengucapkan terima kasih di atas pertemuan ini yang sememangnya tidak dijangkakan meskipun perkara ini berlaku di luar surau. Kami sebagai jawatankuasa telah mengambil langkah-langkah yang perlu," katanya. 


Difahamkan, ekoran dari kejadian itu, tampil satu pihak yang bermurah hati membuat parking di belakang Surau Austin Perdana yang boleh memuatkan 50 buah kereta. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment