Kanak-kanak hampir lemas ditinggalkan seorang diri di tab mandi


Video seorang kanak-kanak yang hampir lemas viral di media sosial mencetuskan pelbagai reaksi netizen. 

Video berdurasi 1 minit 36 saat itu telah ditonton 29,000 kali dan dikongsi 414 penggunanya sejak dimuat naik 7 jam lalu oleh laman The Alternatif. 

Berdasarkan video, kejadian berlaku pada jam 1.16 petang pada 16 Mei 2017. Bagaimanapun lokasi kejadian tidak dinyatakan. 

Video menunjukkan seorang kanak-kanak yang duduk di atas pelampung berwarna merah jambu, dibiarkan bersendirian di tab mandi tanpa sebarang pengawasan orang dewasa. 

Seketika kemudian kelihatan kelibat seorang wanita yang dipercayai petugas premis berkenaan keluar dari bilik tersebut meninggalkan kanak-kanak itu bersendirian. 

Sehinggalah satu ketika, kanak-kanak itu cuba keluar dari pelampung tersebut, namun terbalik dan gagal mengeluarkan kakinya dari pelampung. Mangsa meronta-ronta selama 1 minit 10 saat di dalam air sebelum diselamatkan oleh seorang lelaki yang ternampak kejadian itu. 

Kedua-dua individu itu cuba menepuk bahagian belakang badan mangsa untuk mengeluarkan air dari dadanya. Bagaimanapun tidak diketahui nasib mangsa selepas itu. 

Ibu bapa atau penjaga dinasihatkan tidak membiarkan anak-anak kecil bermain bersendirian di tab mandi atau kolam mandi tanpa sebarang pengawasan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment