KUALA LUMPUR - Penyanyi, Ezlynn atau nama sebenar, Azline Ariffin, 36, telah memfailkan cerai terhadap suaminya, Adam Fahmy Shamsudin di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Lapor Harian Metro, Ezlynn telah memfailkan permohonan itu pada Januari lalu.
Bagaimanapun Adam Fahmy tidak bersetuju dengan perceraian itu dan mahkamah telah memerintah kedua-dua pihak untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kalangan ahli keluarga mereka.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada ahli keluarga yang rapat dengan plaintif dan defendan bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Pada prosiding hari ini, Ezlynn telah melantik kakaknya, manakala Adam Fahmy yang juga pengurus penyanyi itu melantik adik kandungnya sebagai wakil JKP dalam kes perceraian mereka.
Hakim Syarie Mohamed Hizwan Mohamed Nor menetapkan 11 Julai ini untuk wakil-wakil JKP membentangkan laporan mereka.
Ezlynn dan Adam Fahmy mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 dan belum dikurniakan anak.
26 Mei lalu, mStar Online melaporkan Ezlynn tertekan dan enggan memberikan komen mengenai masalah rumah tangganya.
25 Mei, Ezlynn melalui Instagramnya memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan tertekan dan terkejut sehingga jatuh sakit dan mendapat rawatan di Prince Court Medical Centre.
"Kalah juga akhirnya. Tak sangka, badan dan fikiran saya terperanjat, sangat tertekan dengan apa yang berlaku malam tadi.
"Terima kasih atas doa semua dan kekuatan yang diberikan. Insya-Allah semuanya ok," tulisnya. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment