Kerana bercinta dengan suami orang


SHAH ALAM, SELANGOR - Gara-gara menjalinkan hubungan cinta dengan suami orang (warga Malaysia), seorang wanita berusia 37 tahun dibelasah sebelum diikat dalam guni dan dicampak ke Sungai Klang, dari jambatan di Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) di Seksyen 24, kelmarin. 

Mangsa yang merupakan pekerja kilang warga Indonesia itu bagaimanapun bernasib baik kerana sempat diselamatkan oleh seorang lelaki yang menyaksikan kejadian itu. 

Lapor Harian Metro, mangsa diperlakukan demikian oleh dua lelaki tempatan berusia 20'an. 

Sebelum kejadian itu berlaku, mangsa mendakwa dia didatangi oleh dua lelaki berkenaan di rumahnya di Padang Jawa, yang mengajaknya menaiki van untuk pergi berubat di sebuah lokasi, jam 10.30 pagi. 

Namun, dalam perjalanan, seorang suspek menekup mulut mangsa dengan sarung tangan dan memukul kepala serta kaki mangsa dengan besi paip kerana mangsa cuba melawan sebelum diikat kemudian dimasukkan dalam guni sebelum dicampak ke Sungai Klang. 

Seorang lelaki yang kebetulan melihat guni yang dibuang dua suspek, bergerak-gerak dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, lalu segera menghubungi polis dan anggota bomba jam 11.52 pagi. 

Mangsa diselamatkan oleh anggota bomba Shah Alam dan ditemui dalam keadaan separuh sedar, kaki dan tangannya diikat, selepas terapung-apung di sungai itu selama 30 minit sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Semasa ditemui, mangsa berjaya keluar dari guni yang tidak diikat namun kedua-dua belah kaki dan mulutnya masih diikat menggunakan pita pelekat. Mangsa juga cedera di bahagian kepala dan kedua-dua belah kakinya. 

Berdasarkan maklumat dan siasatan, polis telah menahan dua suspek. Selain van, beberapa barangan seperti pita pelekat dan besi paip yang digunakan dalam kejadian itu turut ditemui. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada rekod jenayah lampau. 

Siasatan awal juga mendapati, motif kejadian dikatakan akibat suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan ahli keluarga seorang suspek. Selain itu, mangsa juga didakwa suka mereka-reka cerita. 

"Kedua-dua suspek direman sehingga 13 Februari bagi membantu siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 307, Kanun Keseksaan cubaan membunuh," katanya. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment