Malam tadi aku tengah hisap rokok sambil perhatikan gelagat orang. Datang seorang pemuda tegur aku, nak pinjam lighter. Dengan selamba aku hulur sajalah lighter Cricket warna merah jambu pada dia. Dalam hati, "Patutlah, hisap rokok John rupanya."
Selepas bakar rokok, dia duduk di sebelah aku. Macam nak ajak bersembang tetapi aku buat dek saja, ralit dengan telefon. Dia pun memperkenalkan dirinya. Nama dia Ikhwan, 29, sudah berkahwin dan ada baby yang comel (aku dah tengok).
"Abang kerja di Sunway Pyramid ke?" soalnya.
"Taklah, singgah kejap je," balas aku.
"Saya tengah cari kerja tapi tak dapat. Dah banyak borang yang diisi tetapi semua cakap, nanti mereka akan call balik," katanya.
Aku faham perasaan itu macam mana.
Tiba-tiba dia menangis. Dia kata, "berat betul bang dugaan saya kali ini. Saya dah tak tahu nak buat macam mana," katanya berulangkali meminta maaf pada aku.
Pada mulanya aku malas nak layan sebab sudah terbiasa orang datang nak buat cerita sedih sebab nak minta duit. Banyak versi yang dah didengar, kan. Tapi kali ini kisah dia agak menarik perhatian aku.
"Kenapa bro? Ada masalah ke ni? Sebelum ini kerja di mana?" aku tanya.
"Sebelum ini saya kerja sebagai security di kondo di belakang kilang gula nak pergi ke Shah Alam. Tetapi dah hampir tiga bulan tak dapat gaji," kata Ikhwan.
Ceritanya, semasa syif dia dan rakan sekerjanya, berlaku kes kecurian kabel. Jadi, kiranya security tak buat kerja dengan betul. Pihak pengurusan mesti suruh majikan mereka yang tanggung kejadian itu, kan. Salah satu caranya ialah memotong gaji pekerja terbabit.
Bagi mengelakkan pekerja lari, syarikat kata mereka akan pulangkan balik duit itu. Tunggu punya tunggu, satu sen dari bayaran pun tak pernah dapat di tangan. Lalu Ikhwan pun berhenti kerja dari syarikat itu dengan harapan boleh mendapat pekerjaan lain.
"Lima hari lepas saya pergi masjid. Nak minta bantuan sebab nak beli beras sebab saya dah tak ada duit. Tapi orang masjid kata mereka tak pernah nampak saya sebelum ini dan kata;
Kita tak boleh sesuka hati beri bantuan kepada orang luar. Kalau penduduk tetap di sini (SS19), boleh.
Takkanlah nak minta bantuan kena kira penduduk tetap atau luar? Aku tak arif tentang hal ini tetapi itulah yang diceritakan oleh Ikhwan.
"Tak cuba pergi Pusat Zakat?"
"Dah bang, dah pergi tetapi orang pejabat kata peruntukan dah ada nama penerima," jelas Ikhwan.
"Kalau nak cuba minta, boleh isi borang. Manalah tahu kalau ada rezeki, boleh dapat," aku dah mula menyirap pada waktu ini.
Selepas dia cerita tentang hal itu, dia diam sebelum menangis semahu-mahunya.
"Apa yang buat saya lagi sedih, isteri saya minta cerai pagi tadi, bang. Sebab sekampit beras.
"Saya tak salahkan isteri saya dan saya sedar itu salah saya kerana tidak mampu nak menunaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak. Tetapi saya sayangkan keluarga saya.
"Mujur anak saya menyusu badan. Kalau minum susu tepung, tak tahulah apa yang akan terjadi. Umur anak (Adrian) baru setahun lebih," katanya.
Sepatutnya dalam keadaan seperti ini, isteri perlu kuatkan suami. Suami perlukan kekuatan, jangan isteri pun down sekali. Tapi apalah yang aku tahu, kan.
"Saya sedar yang isteri saya tertekan sekarang," kata Ikhwan yang membuatkan aku terus terfikir kes ibu kelar anak sendiri sebab depresi. Nauzubillah.
Dia asyik meminta maaf pada aku sebab tak tahu nak luah pada siapa. Dia kata dia rindu pada arwah ibu bapanya.
Bila ditanya sama ada ibu bapa mertuanya tahu tentang hal ini, dia jawab tak. Dia risau jika mereka mendapat tahu, perceraian akan berlaku.
"Saya sayang keluarga saya," kata Ikhwan lagi.
Aku tahu bila kita dalam keadaan susah, perasaan malu itu mesti ada sebab kita tak nak orang lain melihat kesusahan kita.
Kemudian Ikhwan tunjuk chat isterinya yang pesan jika dia balik nanti, belikan makanan sebab dah lapar sangat. Ikhwan balas, "nanti abang belikan, ye". Dia menangis lagi sebab tak sampai hati dia nak jawab tiada duit nak beli makanan.
"Saya dah isi borang KFC, McDonald, kedai baju semua yang boleh ambil saya bekerja. Cuci longkang pun tak apa, saya sanggup. Janji halal, bang,' kata Ikhwan.
Bergenang air mata aku bila dia kerap mengatakan yang dia sayangkan keluarga dia, isteri dia, anak dia. Dia tak minta untuk jadi begini.
"Kalau saya jahat, dah lama saya pergi meragut orang, rompak masjid, ambil duit tabung bagai. Tetapi bila kita minta dengan cara yang betul, banyak pula prosedur," katanya meminta sebatang lagi rokok dari aku.
"Sorry bang, stress sangat," katanya.
Aku faham, rokok memang boleh menghilangkan stress.
Tiba-tiba dia mendapat panggilan dari tempat yang dia minta kerja petang itu. Dapat! Boleh masuk dengan segera dan Ikhwan lantas sujud syukur di situ juga. Punyalah dia teruja.
"Kerja dah dapat, macam mana nak survive untuk tunggu gaji?" soal aku menyebabkan Ikhwan terdiam dan senyumannya hilang.
Sebelum aku up cerita ini, aku dah sahkan yang cerita ini memang betul, bukan direka.
"Aku boleh tolong kumpulkan dana untuk kau survive sebulan. Tetapi guna media sosial sebab aku yakin ramai rakyat Malaysia ini yang pemurah dan baik hati," aku jelas pada Ikhwan.
Selain itu, ada pros dan cons dimana kebaikannya dia boleh mendapat bantuan. Keburukan, tanggapan sesetengah orang pada keluarganya. Dicemuh dan mesti akan ada yang cakap kalau miskin jangan kahwin. Tak mampu jangan ada anak. Orang jenis seperti ini yang kita perlu hapuskan.
Aku suruh dia berbincang dengan isterinya sebab takut isteri dia tertekan lebih teruk, malu dan sebagainya.
Sebelum pulang, aku hulur sedikit duit pada dia tetapi dia menolak dan menangis lagi sebab dia tak mahu menyusahkan aku.
"Jangan tolak, sebaik-baik orang adalah mereka yang bermanfaat untuk orang lain. Duit boleh cari bro, keluarga nak cari mana?" kata aku pada Ikhwan.
Jadi aku bersama dgn @QeeL25 (baru kenal td) dan dia la yg bercakap tu. Ni pesanan brader tu utk semua. http://pic.twitter.com/QFtmzq8eyh— usop (@TheUsopIbrahim) February 7, 2017
Difahamkan, Usop telah menyerahkan wang tunai RM2,260 hasil sumbangan orang ramai kepada Ikhwan pada jam 6 petang tadi di Sunway Pyramid bersama dengan @Qeel25.
Mamat ni la yg mcm wartawan tadi. And dia jugak saksi aku serahkan dana tu pd brader tu. Hats off bro @QeeL25 http://pic.twitter.com/5cXJfTehUD— usop (@TheUsopIbrahim) February 7, 2017
Menurut Usop, ada sebabnya mengapa dia enggan mendedahkan siapa lelaki itu kerana bukan dia yang meminta tetapi Usop yang ingin membantu. Lagipun, Usop perlu menghormati privasinya.
Usop juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi membantu dan meminta orang ramai mendoakan keluarga Ikhwan tabah menerima dugaan dengan hati terbuka. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment