Wanita dituduh mencuri kereta, mati selepas diikat pada pokok dipenuhi semut api


BOLIVIA - Seorang wanita meninggal dunia selepas disalah sangka sebagai pencuri kereta dan diikat pada pokok yang dipenuhi dengan semut berapi. 

Mangsa berusia 52 tahun sebelum itu diselamatkan oleh polis dalam keadaan masih bernyawa, namun meninggal dunia di hospital akibat saluran pernafasannya bengkak teruk akibat digigit serangga tersebut. 

Lapor Daily Mail, mangsa sebelum itu telah pergi membantu anak lelakinya yang diikat pada sebatang pokok oleh orang awam yang menuduh mereka cuba mencuri sebuah kereta di Caranavi. Anak perempuannya juga menerima hukuman yang sama tetapi dia dan abangnya sempat diselamatkan dan kini beransur pulih dari kecederaan. 

Lapor media tempatan, ketiga-tiga mangsa juga dipukul dan dibakar dalam kejadian yang berlaku pada malam tahun baru itu. 

Gambar kejadian itu turut dikongsikan oleh sebuah stesen radio tempatan di mana dua daripada tiga mangsa diikat pada sebatang pokok dan mata mereka ditutup dengan kain sambil diperhatikan orang awam termasuk seorang kanak-kanak lelaki tidak jauh dari situ. 

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati, mangsa bersama dua anaknya yang berusia 22 dan 28 tahun dalam perjalanan ke La Paz untuk mengutip hutang. 

Difahamkan, pokok yang dijadikan sebagai tempat mengikat ketiga-tiga mangsa adalah pokok mistik yang berasal dari pantai Amerika Selatan yang menjadi kegemaran semut api Brazil yang terkenal dengan gigitan yang berbisa. 

Ketua Polis tempatan, Gunter Agudo berkata, "Kami berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa, namun salah seorang daripada mereka dalam keadaan kritikal dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 

"Wanita berusia 52 tahun itu kemudian meninggal dunia pada jam 3.30 petang. 

"Pada mulanya kes disiasat sebagai kes mencuri kereta bersenjata tetapi kini bertukar kepada kes bunuh," katanya. 

Seorang suspek telah ditahan pada 1 Januari kerana disyaki telah menghasut beberapa penduduk yang lain untuk melakukan pembunuhan itu. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment