'Saya hantar anak dalam keadaan sihat & ceria, tetapi dipulangkan sebagai mayat'

Simpati dengan luahan si ibu yang kehilangan anak kesayangannya baru-baru ini. Anak lelakinya yang dihantar ke Pulapol Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan pada September tahun lalu dalam keadaan sihat dan ceria, dipulangkan sebagai mayat. 

Hati ibu mana yang tidak sedih menerima perkhabaran seperti itu? Tambahan pula punca kematian disebabkan paru-paru berair dan jantung mangsa bengkak. Justeru, ibu mangsa mahu PDRM menjalankan siasatan yang adil dan telus akan kes kematian anaknya itu. 

Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini. Takziah


Oleh pengadu, Che Suhaimah

Assalamualikum. Saya ibu kandung arwah Mohamad Anuris Ilham bin Anuar. Tolong sebarkan kepada semua. 

Anak kesayangan saya mati bersebab. Anuris takkan rosak organ dalamannya dengan sendiri. Anuris bukan budak lepasan SPM yang biasa, saja nak masuk polis. Tetapi Anuris berkelulusan Diploma Undang-Undang. 

Selepas diploma, dia buat praktikal di Balai Polis IPD Gerik selama dua bulan. Selepas itu bertugas sebagai guard bersenjata di Hospital Selayang. Sebelum masuk ke Pulapol Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan, Anuris telah beberapa kali menjalani medical check up di hospital kerajaan. Sebelum masuk Pulapol, Anuris aeorang anak yang sihat walafiat, bertubuh sado dan ceria. Anuris anak kesayangan saya tidak pernah ada penyakit sawan, malah keturunan dia tak ada sawan. Macam mana anak saya boleh mengalami kecederaan organ seperti paru-paru berair dan jantung bengkak? 


Saya merasa sungguh terkilan dengan apa yang berlaku pada anak saya di dalam Pulapol. Saya cukup tidak berpuas hati pada Pulapol Air Hitam. Tangan saya yang hantar anak saya pada Pulapol dengan gemuk, sado, sihat walafiat. Dengan bangga anak saya akan jadi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya serahkan anak kesayangan saya pada 24 September 2016 dengan penuh kepercayaan kepada PDRM, bukan saya serahkan anak saya kepada mafia. Tetapi pada 11 Januari 2017, PDRM menghantar pulang anak saya sebagai mayat. 

Saya tahu ajal maut di tangan tuhan. Saya tahu walau apa pun yang terjadi, saya tak akan mendapat kembali anak kesayangan saya buat selama-lamanya. Saya tahu ajalnya di Pulapol Air Hitam, tetapi anak saya tidak akan sakit dan cedera organ dalaman dengan sendiri tanpa sebab yang munasabah. 

Tetapi kalau kematian anak saya berpunca dari kecuaian dan perbuatan ganas, saya akan melawan habis-habisan. Kalau tidak, tak berbaloi anak kesayangan saya mati dengan azab buat post mortem lagi. Sedangkan dalam Islam haram bedah mayat. Tetapi demi mencari kebenaran, diharuskan. 

Hati seorang ibu mana yang sanggup melihat mayat anaknya dibedah, dilapah, disiat-siat seperti seekor lembu? Hati ibu mana yang sanggup melihat organ dalaman anaknya dipotong-potong seperti lembu di pasar? Hati ibu mana yang sanggup melihat kepala anaknya dimesin, dikeluarkan otaknya? Tetapi inilah post mortem. Walaupun hati saya sayu, hiba, demi mencari kebenaran, saya sanggup anak saya dilapah, disiat-siat. 


Sekarang anak saya disahkan mati akibat paru-paru ada air dan jantungnya bengkak. Tetapi apa puncanya menjadi seperti itu? Saya telah membuat laporan polis dan meminta pihak PDRM menjalankan siasatan yang telus dan adil. 

Tolonglah celik, fikir dan renungkan betapa menderitanya seorang ibu yang kehilangan anak kesayangan, agar selepas ini tiada lagi ibu yang menunggu mayat anaknya dipulangkan di atas jalan. 

Tolong sebarkan, anak saya bukan sawan. Apa pun penyebabnya, semua berpunca dari dalam Pulapol Air Hitam. Doakan semoga Allah akan tunjukkan kebenaran.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment