'Halalkan makan dan minum'
Muar: “Saya rasa nak pergi jauh,”...itu antara ayat terakhir arwah Nur Amira Izzaty Razip kepada tunangnya sebelum bas itu kemalangan, awal pagi.
Nur Amira, 22, antara 14 mangsa yang terkorban dalam nahas bas ekspres di KM137.3 lebuh raya PLUS, arah utara, berdekatan dengan kawasan rehat dan rawat Pagoh.
Tunangnya, Hary Ramlan, 26, berkata kali terakhir dia bertemu tunangnya adalah ketika mengambil tunangnya di asrama kilang tempatnya bekerja di Senai.
Katanya, dia kemudian menghantar tunangnya ke Stesen Bas Larkin, yang mahu ke Negeri Sembilan bagi menghadiri majlis pernikahan kenalannya.
“WhatsApp terakhir yang dia hantar mengatakan ‘saya rasa nak pergi jauh’. Jadi, saya pun terkejut sebab dia tak pernah berkata begitu sebelumnya kepada saya.
“Saya hantar dia pada 11.30 malam. Tunggu sampai bas dia bertolak.
“Ketika dalam bas pun dia ada meminta saya menghalalkan segala makan minumnya dan mengikhlaskan semua perkara selama lima tahun kami berkenalan.
“Nur Amira, yang ketika itu dalam keadaan teresak-esak ketika di stesen bas turut meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada syarikat perkhidmatan bas.
“Bas itu datang lambat, sepatutnya bas sampai pada 1 pagi tetapi tiba pada 1.45 pagi dan terus bertolak kira-kira lima minit kemudian.
“Saya bekerja sebagai pemandu bas SBS di Singapura. Oleh itu, pada saya waktu rehat pemandu bas tersebut sangat singkat,” katanya.
Tambahnya, dia mendapat makluman mengenai kejadian bas daripada kumpulan WhatsApp yang memaklumkannya mengenai kemalangan tersebut.
“Pada mulanya saya tidak percaya tetapi selepas melihat nombor pendaftaran bas itu, AJC 6633 saya tahu itu bas yang dia naiki kerana tiket bas dia saya yang pegang semalam,” katanya.
Menurutnya, mereka bertunang sejak Mei tahun ini dan merancang untuk berkahwin pada Mei 2017.
Difahamkan, arwah Nur Amira ke Negeri Sembilan bersama seorang rakan sekerjanya, Allahyarham Nor Saidatul Akmal Idris, 21, yang juga maut dalam nahas itu.
Blogger Comment
Facebook Comment