Gambar hiasan | Foto - De Shuttter Creation |
Oleh Azizul Azli Ahmad
Duit hantaran tidak sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan perkahwinan pihak perempuan. Bapa pihak perempuan sepatutnya mengeluarkan belanja sebagai tanda syukur ada anaknya telah dilamar dan diterima.
Kenduri itu bukannya yang ada 18 khemah, memadai mengikut sunnah dengan menjemput jiran tetangga, jemaah surau dan saudara terdekat kita. Kuncinya, sederhana.
Wang hantaran dengan rakusnya digunakan untuk belanja pelamin, pakaian pengantin, khemas dan goodies, kad kahwin, makanan dan belanja fotografi.
Jika bapa kita memang tidak mampu, bolehlah gunakan duit ini sebahagiannya untuk belanja. Tetapi tetap sederhana, bukan habiskan semua.
Saya pernah jumpa bapa mertua yang memulangkan kembali wang yang diterima sebagai hadiah untuk memulakan hidup berkeluarga. Pengantin lelaki rasa hiba dan malu nak terima. Rasa hormatnya pada bapa mertua menjadi sangat luar biasa dan sayang isterinya pasti berganda-ganda.
Masyarakat pantai timur sudah lama melakukan ini. Kita saja yang rasa pelik dan nak habiskan duit hantaran lelaki. Mereka himpun duit sampai nak keluar biji mata. Kita bazirkan dengan kenduri mewah nak jaga tahta dengan jiran tetangga dalam sehari sahaja.
Lebih sedih, bila tetamu bazirkan makanan hingga banyak sisa tak habis. Sedangkan pengantin lelaki minum air kosong di tepi jalan itu sudah biasa demi cintanya mereka.
Manfaatkan duit hantaran untuk beli rumah pertama, bukannya belanja kenduri kendara.
Saya tahu ramai yang tidak suka tetapi inilah hakikat yang kita perlu terima. Budaya kahwin yang membazir wang sahaja. Kembali hidup beragama, bukan berbudaya. - Azizul Azli Ahmad | The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment