Hasrat pasangan suami isteri menempatkan anak mereka di sekolah MRSM hampir terbantut apabila pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) memaklumkan bahawa nama si bapa termasuk dalam senarai hitam.
Apabila disemak dengan Bahagian Kawalan Kredit, rupa-rupanya si bapa pernah menjadi penjamin kepada seorang kenalannya. Jika tidak dibayar, si bapa dikehendaki membayar 1/3 dari baki hutang iaitu RM7,000 sekiranya mahu nama dikeluarkan dari senarai hitam.
Ada ibu bapa yang mahu menempatkan anak di MRSM? Semoga perkongsian dari Puan Suhaila ini memberi manfaat kepada anda.
Baca perkongsian dari Puan Suhaila Yusuf di bawah:
23 Januari lalu, keputusan kemasukan ke MRSM diumumkan. Ramai kawan-kawan yang bertanya, Nabilah dapat atau sebalik? Bila saya beritahu Nabilah tak dapat, ramai yang terkejut dan bertanya sama ada kami ada buat rayuan atau tidak? Bila saya kata butang rayuan tiada dalam laman permohonan berkenaan, mereka sekali lagi terkejut. Tiadanya butang rayuan bermakna tidak boleh merayu. Kalau nak merayu juga, kena pergi ke Ibu Pejabat Mara di Jalan Raja Laut.
Terlanjur kami memang nak pulang ke Ipoh, maka semalam kami pergi ke MARA. Kaunter rayuan dibuka di lobi. Saya bertanya kenapa tidak boleh membuat rayuan secara online, sedangkan ada orang yang boleh merayu secara online?
Menurut pegawai MARA, hanya ada dua sebab iaitu:
- Dah dapat tawaran SBP
- Nama ibu bapa disenarai hitamkan
Dalam kes Nabilah, tawaran SBP memang tiada sebab memang tak minta SBP. Yang kedua, tidak pasti. Pegawai berkenaan kata salah seorang daripada kami mesti ada dalam senarai hitam tersebut. Jadi, kami pergi ke Bahagian Kawalan Kredit. Bila diperiksa, permohonan Nabilah untuk masuk MRSM tidak berjaya kerana bapanya termasuk dalam senarai hitam.
Ya, sedihnya. Amin adalah penjamin dan kena senarai hitam sebab peminjam pernah sangkut buat bayaran untuk tempoh yang lama. Oleh kerana peminjam sudah mula membuat pembayaran balik, maka pihak MARA bersetuju untuk memutihkan semula nama suami. Kalau tidak, kami dikehendaki membayar hampir RM7,000 (1/3 dari baki hutam) untuk memutihkan semula nama.
Kami perlu tunggu dokumentasi dikeluarkan dan selepas mendapat dokumen dalam gambar itu, barulah surat rayuan Nabilah diterima untuk dipertimbangkan. Dapat tak dapat itu, lain ceritalah. Ada rezeki, ada. Tak ada rezeki, kami redha sahaja.
Sedih, kan? Anak-anak menjadi mangsa keadaan. Sedih lagi Kak Sevia M Idrus yang mana kesnya juga sama seperti kami, nama disenaraikan hitamkan meskipun sebagai penjamin. Tetapi dia lagi sedih, nak putihkan nama, mereka perlu membayar sekurang-kurangnya 1/3 daripada tunggakan hutang si peminjam. Terpaksalah mereka membayarnya. Kalau tidak, surat rayuan untuk anaknya tidak diterima. Apatah lagi nak dipertimbangkan? Anak sulungnya dulu juga tidak berjaya mendapar MRSM dan mungkin inilah puncanya.
PENGAJARAN
- Kalau sudah menjadi peminjam, bayarlah balik hutang mengikut perjanjian dalam masa yang ditetapkan. Your ignorance may cause disaster to others.
- Kalau jadi penjamin, perlulah bertegas meminta peminjam membayar mengikut jadual atau lebih baik jangan menjadi peminjam.
Memang susah kalau yang nak dijamin itu kaum keluarga, sanak saudara. Tetapi tengoklah akibatnya, siapa yang pernah menjadi penjamin/peminjam, pergilah semak status anda jika termasuk dalam senarai hitam. Kalau tidak, apa yang anda mohon dari Mara tidak akan dipertimbangkan.
Blogger Comment
Facebook Comment