'Terima Kasih Saleha'


Saya membawa beg galas troli besi mudah lipat (foldable shopping troley) kerana mengalami masalah slipped disc dan tiada menghadapi sebarang masalah ketika membawanya ke dalam pesawat MAS, Air Asia atau Malindo sepanjang lapan bulan yang lalu. 

Namun pada Jumaat lalu, saya ditahan oleh kakitangan Air Asia ketika hendak memasuki ruang pelepasan di KLIA 2. Saya kecewa kerana sebelum ini tidak mengalami sebarang masalah untuk membawa masuk troli itu. Saya cuba mendesak agar dibenarkan untuk membawanya, namun sia-sia. Lalu kakitangan berkenaan menyuruh rakannya, Saleha, membawa saya bertemu dengan penyelia, yang kemudian mengesahkan bahawa troli tersebut tidak dibenarkan dibawa masuk kerana ia diperbuat daripada besi.

Saya diarahkan untuk membalutnya dan mendaftar masuk troli itu sebagai bagasi, tetapi tiada kesempatan untuk berbuat demikian  kerana waktu pelepasan hanya tinggal setengah jam. 

Saleha kemudian menawarkan diri untuk menyimpan dan memulangkan troli itu bila saya kembali nanti kerana dia tidak mahu saya terlepas jadual penerbangan. Dia bertanya bila saya akan kembali semula, saya memberitahu saya akan kembali pada malam Isnin. Katanya dia bertugas pada hari tersebut. Saya mengambil nombor telefonnya dan mengucapkan terima kasih. Saya terus mendaftar masuk ke dalam pesawat yang mana sudah terlambat. 

Sementara menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Miri pada malam Isnin, saya menghubungi Saleha dan bertanya, apakah dia bekerja pada hari itu. Katanya dia akan mula bekerja seawal jam tiga pagi, tetapi dia berkata usah bimbang kerana dia akan memulangkan troli saya itu nanti. 

Bila saya tiba di balai ketibaan, Saleha berada di situ dan menunggu saya dengan troli tersebut! 

Saleha menjelaskan bahawa troli itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke ruang kabin kerana ia boleh digunakan sebagai senjata. Walaupun begitu, dia memahami sesetengah orang mempunyai masalah pinggang. 

Saya telah memberikan sedikit token untuk minyak dan kerana menyusahkannya serta menyuruhnya segera pulang kerana dia perlu berehat sebelum mula bertugas jam 3 pagi nanti. Saleha berkata, dia tiada masalah untuk membantu dan lagipun dia tinggal berdekatan sahaja. 

Kepada Tony Fernandez, Saleha baru saja bekerja dengan Air Asia selama dua minggu. Apa yang dilakukannya itu, bukanlah latihan dari Air Asia. Jagalah dia baik-baik, gilaplah dia menjadi kakitangan yang cemerlang kerana dia amat bernilai. 

Berilah pengiktirafan yang sewajarnya kepada Saleha dan jadikanlah dia sebagai teladan. Tulislah surat kepada ibu bapanya dan ucapkanlah tahniah kepada mereka kerana mendidik Saleha dengan nilai-nilai murni. Berikanlah juga penarafan yang cemerlang dalam prestasi beliau. Dialah pekerja masa depan Air Asia. 

Terima kasih Saleha! - Lionel Tan

Diterjemah semula untuk siaran di The Reporter sahaja.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment