KUALA LUMPUR - "Saya telah dipukau dan barangan saya telah diambil di luar kesedaran saya," demikian kata mangsa, Nadia Nadhirah Nazri di laman Facebooknya.
Dalam kejadian jam 5.30, Ahad lalu di kedai buku Kinokuniya KLCC, barangan milik mangsa, iPhone 6 dan gelang emas yang kedua-duanya bernilai RM7,000 telah disamun selepas dipukau seorang lelaki.
"Lelaki itu berbangsa Melayu ala-ala Cina, berkulit putih, rambut pendek, berperwatakan sedikit lembut dan kerap menggunakan bahasa Melayu campur inggeris," kata Nadia.
Menceritakan semula kronologi kejadian, mangsa dan adiknya baru keluar dari kedai buku tersebut dan semasa menuruni eskalator, mereka dihampiri oleh seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai Pengurus Kinokuniya.
"Kami disapa oleh lelaki itu, kononnya dia sedang mencari pekerja. Saya menolak kerana sudah ada pekerjaan tetap. Tetapi lelaki itu terus bercakap sehingga kami mengikutnya kembali ke kedai buku itu.
"Dia mengambil borang kononnya borang untuk ditemuduga, meskipun saya sudah menegaskan bahawa saya tidak mahu. Kemudian, kami dipanggil ke kedai makan Little Penang kononnya dia mahu menemuduga kami. Di situ, dia terus berbual dan menyuruh kami mengisi borang berkenaan," katanya.
Cerita Nadia lagi, lelaki itu menyatakan bahawa semua calon akan diberikan ujian percubaan pada masa itu dan barang berharga milik mereka juga perlu diserahkan kepada lelaki itu sebagai cagaran sementara surat tawaran kerja dikeluarkan.
Selepas mengisi borang tersebut, mangsa dibawa masuk ke kedai buku itu semula untuk melakukan ujian di tingkat atas. Lelaki itu meminta kebenaran untuk meminjam telefon mangsa untuk memuat turun aplikasi soalan-soalan yang perlu dijawab. Malah, dia turut meminta password dan Apple ID mangsa. Nadia terus memberi kesemua maklumat yang dipinta tanpa sedar.
"Dia juga meminta gelang emas di tangan kiri saya. Saya enggan beri tetapi dia buka gelang emas itu sendiri dari tangan. Saya hanya mampu melihat sahaja, sebelum dia terus beredar meninggalkan kami," katanya.
Setengah jam kemudian, Nadia tersedar dan terus bertanya pada kakitangan di Kinokuniya mengenai lelaki tersebut. Mereka terkejut dan mengatakan bahawa Nadia merupakan mangsa yang entah keberapa, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan Kinokuniya.
Menurut pihak keselamatan premis tersebut, suspek mensasarkan mangsa perempuan yang jalan berdua dalam usia lingkungan 20-30'an dan pengguna iPhone. Suspek akan mendekati mangsanya semasa menuruni eskalator. Modus operandi dilakukan pada waktu orang ramai seperti hujung minggu.
"Saya sedar setiap perbualan kami, tetapi minda dan hati saya seakan dikunci sejak awal kejadian itu lagi. Segala perbuatan saya seakan-akan dikawal oleh lelaki itu.
"Saya masih ingat kata-kata lelaki itu sebelum dia meninggalkan kami. Dia kata saya tidak cerdik selepas dia mengambil barangan saya," katanya.
Nadia bagaimanapun redha dengan kejadian yang menimpa dirinya, namun menasihatkan orang ramai agar berhati-hati bila mengunjungi pusat beli belah dan tidak melayani perbualan dari orang yang tidak dikenali. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment