Lagi Video Kanak-Kanak Syria Jadi Mangsa Serangan Udara


SYRIA - Gambar seorang kanak-kanak perempuan Syria yang cedera tersebar di media sosial. Video dan gambar tersebut dimuat naik oleh aktivis pro-pembangkang, Talbiseh Media Center, lapor CNN.

Dalam video berkenaan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun diberikan bantuan perubatan di sebuah pusat perubatan. Rambut dan badannya dipenuhi dengan debu, kesan darah di dahi dan hidungnya. Dia kelihatan keliru dan ketakutan serta mencari bapanya. 

"Siapa nama awak?"

"Aya," jawabnya sambil menangis.

"Di mana awak berada ketika kejadian ini berlaku?" 

"Di rumah dan bumbung jatuh menimpa kami," katanya sambil matanya melilau mencari bapanya. 

"Baba.. Baba..." Aya menangis mencari bapanya yang tidak kelihatan di situ. 

Kakitangan hospital dan sukarelawan cuba membersihkan dan merawat luka Aya yang menangis teresak-esak. 

Difahamkan, Aya diselamatkan dari runtuhan bersama ahli keluarga setelah kediaman mereka di Talbiseh menjadi sasaran serangan udara, Isnin lalu. 

Dalam serangan udara tersebut, dua orang awam terkorban, manakala 30 lagi cedera selepas kediaman mereka menjadi sasaran serangan udara. 

Ibu bapa Aya dan tiga adik beradiknya juga turut cedera dalam serangan itu. Aya yang merupakan anak sulung bagaimanpun telah disatukan semula bersama keluarganya. 

Menurut aktivis, keluarga Aya kini sedang mencari tempat tinggal baru kerana rumah mereka telah musnah. 


Gambar Aya (kiri) semasa berada di sekolahnya, 9 Oktober, sehari sebelum serangan udara yang telah memusnahkan rumah mereka sekeluarga. 

Terdahulu, gambar seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun, Alan Kurdi, dari Aleppo yang cedera akibat ditimpa runtuhan bangunan selepas kediaman mereka menjadi sasaran serangan udara. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment