Dapat Rumah Baru Tapi Banyak Kerosakan, Apa Yang Patut Anda Lakukan?



Pasti ramai yang seronok apabila menerima kunci rumah baru daripada pemaju. Rumah yang ditunggu-tunggu, akhirnya siap sepenuhnya dan boleh diduduki. Tetapi bila masuk saja dalam rumah, anda mendapati terlalu banyak kerosakan dan kecacatan pada rumah tersebut. Yang mana tidak seperti yang anda harapkan. 

Jika anda menghadapi masalah tersebut, apakah yang patut anda lakukan? 

Di sini, saya kongsikan apakah yang patut anda lakukan apabila mendapati rumah baru anda mengalami banyak kerosakan.

Tahukah anda, sekiranya anda membeli rumah yang dalam pembinaan dengan pemaju, anda memperolehi tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period) atau dalam bahasa mudahnya dipanggil, tempoh waranti selama 24 bulan bermula daripada tarikh serahan milikan kosong atau tarikh serah kunci rumah tersebut. 

Ertinya, dalam tempoh tersebut sekiranya berlaku kerosakan pada rumah, maka pemaju perlu bertanggungjawab dan segala kos dan perbelanjaan itu dibawah tanggungan mereka sendiri untuk membaikipulih segala kerosakan tersebut. 

Bagaimana caranya untuk meminta pemaju membaikpulih kerosakan rumah kita? Bolehkah sekadar menghubungi pejabat pemaju begitu sahaja? Kalau pemaju lambat atau enggan baiki, apa yang anda patut buat? Sila ikuti sepenuhnya apa yang saya nyatakan di bawah ini: 

1. Sekiranya berlaku kerosakan terhadap rumah anda, sila tulis surat rasmi kepada pemaju. Senaraikan kerosakan rumah anda satu persatu. Kalau boleh, ambil gambar kerosakan tersebut dan lampirkan sekali dengan surat rasmi. CC surat tersebut kepada peguam yang menyediakan Perjanjian Jual Beli. 

2. Hantar surat tersebut kepada pemaju dan peguam dengan dua cara sahaja iaitu, Pos Berdaftar atau serah terus dengan tangan ke pejabat pemaju dan pejabat peguam serta dapatkan cop dan tandatangan akuan terima daripada kedua-dua pihak tersebut. Cara lain, tidak dibenarkan oleh undang-undang. 

3. Beri tempoh 30 hari kepada pemaju mulai dari tarikh pemaju menerima surat tersebut untuk mereka membaiki kerosakan. 

4. Sekiranya pemaju tidak membaiki kerosakan tersebut dalam tempoh 30 hari, sila lantik kontraktor anda sendiri untuk tujuan tersebut. 

5. Dapatkan sebutharga daripada kontraktor anda terlebih dahulu untuk kos membaiki kerosakan tersebut. 

6. Serahkan scara rasmi sebutharga kontraktor tersebut kepada pemaju dan CC kepada peguam. Beri peluang sekali lagi kepada pihak pemaju untuk membaiki kerosakan tersebut dalam tempoh 14 hari. 

7. Jika pemaju masih enggan membaiki kerosakan selepas tempoh berkenaan tamat, sila arahkan kontraktor anda memulakan kerja-kerja pembaikan sehingga siap. 

8. Selepas selesai dibaiki, sila buat tuntutan kos pembaikan kerosakan tersebut daripada peguam dengan mengemukakan invois asal kerja-kerja pembaikan kerosak tadi kepada peguam. 

9. Peguam hendaklah membuat bayaran kepada kontraktor dengan memotong daripada wang pertaruhan 5% daripada harga jual beli yang dipegang oleh peguam. 

10. Kalau pemaju dan peguam enggan memberikan kerjasama, anda boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Pembeli Rumah. 

Walaupun semua perkara yang saya sebut di atas dinyatakan dengan jelas dalam Perjanjian Jual Beli, saya percaya masih ramai pembeli di luar sana yang masih belum mengetahui tentang hak mereka. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment