Memang salah saya sebab saya ingat berkahwin itu mudah, menjadi isteri solehah itu mudah. Sekarang saya tahu menjadi solehah itu adalah perkara yang paling susah saya pernah buat.
Selepas berkahwin, saya meneruskan pengajian yang berbaki setahun. Belum sempat konvokesyen, saya sudah mula bekerja. Mungkin rezeki anak pada masa itu. Kerja saya pula bermula dengan gaji RM3,000+. Bagi orang yang baru grad, agak tinggi juga jumlah gaji itu. Suami bekerja sebagai juruteknik. Memang gaji saya lebih tinggi daripada suami.
Masa mula perkahwinan, memang kami sudah bermasalah. Saya fikir itu semua adalah normal memandangkan kami tidak mengenali masing-masing secara mendalam. Kami berkahwin dan kononnya bercinta selepas nikah.
Selama ini kami bergaduh, suami banyak bersabar dan mendiamkan diri bila saya marah. Saya yang jenis panas baran. Pantang salah sikit, sampai suami mandi lama pun saya bising.
Niat asal berkahwin, mahu menjadi isteri solehah sangat tebal. Saya pun pakai cantik-cantik di depan suami, lemah-lembut, melayan suami seperti raja bagai. Adalah selama enam bulan pertama perkahwinan saya berbuat demkian. Namun semakin lama semakin teruk perangai saya. Setiap hari saya marahkan suami.
Bila difikirkan semula dan muhasabah diri, memang banyak kesalahan saya. Pertama, disebabkan gaji saya lebih tinggi dari suami, saya menjadi ego. Saya rasa saya boleh hidup tanpa suami. Sewa apartment saya yang bayar semuanya termasuk bil, ansurans kereta, makan, minum, susu dan lampin anak. Suami hanya menyelesaikan bayaran insurans anak dan yuran taska anak sahaja.
Saya rasa saya mampu hidup tanpa dia tetapi saya silap bahawa hidup saya terasa sunyi tanpa peneman. Walaupun suami tidak mampu dari segi kewangan, tetapi suami seorang yang penyayang. Secara fizikal saya boleh hidup tanpa dia tetapi terseksa sebab saya sudah kehilangan sumber kasih sayang.
Kesalahan kedua saya adalah, tidak pernah percaya pada dia. Suami jenis yang suka berniaga tetapi saya tidak pernah memberi kepercayaan kepada perniagaannya. Saya rasa dia hanya membuang masa dan tidak akan berjaya dalam perniagaan. Suami selalu berkata yang dia berniaga bukan mahu menjadi kaya tetapi kerana ini sunnah dan dia mahu membantu orang lain. Perniagaan suami pula perniagaan konsultan. Banyak konsultasi dia caj hanya RM20-RM50 sahaja. Bagi saya, nak dapat untung kalau sikit seperti itu?
"Saya nak bantu orang sebab itu saya caj murah," kata suami.
Dia pula tak cukup capital untuk mengembangkan perniagaannya sebab itu perniagaannya tidak berkembang maju. Walaupun begitu dia tidak pernah meminta saya membuat pinjaman bank atau meminta duit saya sesen pun untuk perniagaan dia.
Ketiga, saya rasa macam saya adalah isteri yang serba cukup. Saya asyik rasa sepatutnya suami bersyukur kerana mendapat saya sebagai isteri. Saya bolehlah dikatakan ada rupa, kurus, berkulit cerah, punyai kerjaya yang baik dan setiap hari saya masak untuk anak dan suami. Siap bawa bekal lagi.
Bab makan, saya memang jaga. Setiap hari saya masak makanan istimewa. Sepanjang perkahwinan, saya tak pernah beri suami makan kicap dan telur sahaja. Paling lekeh pun say aakan masak sup ayam.
Saya lupa bahawa tanpa suami saya yang memudahkan kerja saya, tidak mungkin saya boleh memasak untuk dia dan anak. Suamilah yang membasuh pinggan, vaccum rumah, basuh dan sidai kain, buat sampah, menyediakan susu anak, bangun malam-malam kalau anak mahu menyusu dan bermacam-macam lagi. Sumpah saya menyesal sangat sekarang.
Rumah tangga saya mula runtuh apabila saya memeriksa log telefon pintar suami. Saya mendapati dia pernah membuat pencarian gambar lucah melalui telefonnya. Saya apa lagi, terus menyerang dia dan pada masa itulah dia benar-benar melepaskan kemarahannya kepada saya. Semua perkara dia luahkan sedangkan sebelum ini dia bersabar dengan saya.
Disebabkan ego tercabar, saya pun menghalaunya keluar. That's the end of us, about a year ago. Kami tidak pernah tidur sebumbung selepas pertengkaran itu.
Selepas saya menghalaunya, suami pulang ke kampung. Ibu bapa suami saya pula mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan mahu menjemput suami dari stesen bas. Sampai ke saat ini saya rasa sangat bersalah kepada suami. Kematian ibu bapanya menjadi kemuncak kebencian dia pada saya. Sampai saat ini saya menangis bila. Kalau bukan kerana saya menghalau dia, dia pasti tidak akan balik ke kampung dan ibu bapanya mungkin masih hidup.
Bila ibu bapanya meninggal, kesemua rumah sewa, tanah, barang kemas dan duit simpanan ibu bapanya dia yang mewarisi. Suami saya seorang yang kuat semangat. Dia melaburkan duit pusaka untuk perniagaannya. Dalam masa setahun, perniagaan dia bertambah maju.
Saya sudah cuba memujuk dia kembali kepada saya bukan disebabkan dia sudah kaya tetapi sebab saya sudah menyesal dengan perbuatan saya yang lalu. Saya rindu sangat pada suami, pelukannya setiap malam sedangkan saya selalu membelakanginya, rindu panggilan 'sayang' yang pada saya tidak pernah lekang dari mulut dia walau sekali sampailah kami berpisah.
Saya rindu dia sangat-sangat. Hanya Allah sahaja yang tahu. Tetapi dia sudah tiada perasaan pada saya. Mungkin dia langsung tak ingin memandang saya.
Saya berharap jika ada isteri di luar sana mempunyai ego yang sama seperti saya, sedarlah sebelum terlembat. Jagalah 'ego' suami anda. Kalau rasa nak marah, ingatlah kembali budi dia kepada anda. Biarpun kita rasa diri kita ini bagus, suami tetap di atas kita.
Esok saya ka mahkamah untuk dia melafazkan cerai. Doakan saya. - Nurul | The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment