HOSTEL
Nama aku Sya, dulu study di IPTA utara Semenanjung. Mula-mula masuk semester 1, kena tinggal di hostel, Seumur hidup aku, tak pernah pun tinggal di hostel dan inilah pertama kali. Aku jenis peramah, semua orang aku nak tegur. Seriously, paling kuat pun aku akan senyum dan ucapkan 'Hai!'.
Pada satu malam ini lebih kurang jam 11 malam, aku basuh baju. Biasalah budak-budak hostel basuh baju malam-malam kan. Tetapi nak dijadikan cerita, malam itu tak ramai pula yang basuh baju. Kiranya adalah dua tiga orang saja di aras aku ini. Aku di aras G, paling bawah sekali. Hostel ini ada empat tingkat sahaja. Aku pun hati kering juga nak cuci pakaian walaupun tak ramai orang. Apa aku kisah, yang penting pakaian aku siap dicuci kan.
Bila dah siap cuci, bawa pakaian ke ampaian. Masa itu dah sunyi, semua dah masuk ke bilik masing-masing. Masa nak menyidai pakaian, aku ternampak ada seorang perempuan ini berdiri membelakangi aku. Rambutnya panjang, wangi pula baunya. Aku tak nampak wajah dia, jadi dengan gatalnya mulut aku pun menegurnya.
"Hi! Nama awak apa?"
Yela, baru masuk sem kan, kenalah ramah.
Pertanyaan aku itu, dia jawab sepatah sahaja.
"Mira...."
"Buat apa di ampaian ini?" soal aku lagi. Namun tidak dijawab.
"Awak duduk di level berapa?"
Kali ini dia masih berdiam diri namun dia mengangkat tangan dan menunjukkan angka empat. Jadi, aku pun okay sajalah, tak kuasa nak bertanya lebih-lebih. Nanti orang kata syok sendiri pula. Lagipun dia tak pandang aku langsung.
Aku pun meneruskan aktiviti menyidai pakaian. Aku tunduk nak mengambil pakaian dalam baldi. Bila angkat muka, Mira dah tak ada di tempatnya berdiri. Sekelip mata saja dia sudah hilang. Aku pun buat tak tahu sajalah dan kembali ke bilik, terus tidur.
Keesokkan harinya, aku sajalah nak check nama Mira di level 5 sebab aku ini ketua araslah kiranya. Jadi aku ada senarai nama student di setiap level. Bila check, aras 4 itu semuanya kosong, tak ada orang masuk lagi.
"Dah tu, aku borak dengan siapa semalam?!"
Sejak dari itu, aku dah tak tegur sesiapa yang aku tak kenal. Cuaklah, tak pasal-pasal tersalah tegur lagi, demam aku.
RUMAH SEWA
Ini cerita di rumah sea pula. Masa itu aku dah semester 4 dan aku sedang menjalani praktikal. Dalam rumah sewa ada enam penghuni termasuk aku. Dua orang senior dan yang selebihnya sebaya dengan aku. Rumah itu ada tiga bilik tidur. Di bilik master, aku, Lina dan Ana. Bilik medium pula dihuni oleh dua senior tadi kerana mereka adik beradik. Bilik kecil pula dihuni oleh Atin, seorang diri.
Masa mula-mula masuk ke rumah itu, semua dalam keadaan baik dan tiada masalah sangat. Namun apa yang tak menariknya setelah beberapa lama tinggal di situ, aku terhidu bau busuk. Bukan bau busuk yang biasa, tetapi bau busuk tahap bangkai skala 10. Busuk gila! Tetapi bau ini kadang-kadang saja ada. Tetapi bau itu hanya menusuk ke rongga hidung bila masuk waktu maghrib, waktu senja sahaja. Busuk yang teramat sangat.
Kami pernah cuba mencari punca bau busuk itu. Tetapi tak ada pula terjumpa bangkai cicak tersepit pintu ke, bangkai tikus tercekik tulang ke apa. Semuanya tak ada. Itulah yang peliknya,
Jadi, di hujung minggu kami buat operasi mengemas secara besar-besaran. Kami kemas bilik masing-masing. Tengah aku asyik mengelap tingkap tiba-tiba ternampak gumpalan rambut terselit di bunga plastik yang tergantung di dinding atas tingkap. Bunga itu memang ada saja di situ sewaktu kami mula masuk ke rumah ini. Yang tak adanya adalah rambut segumpal itu. Terfikir juga macam mana rambut obleh sampai ke atas itu siap bergumpal bagai. Takkanlah kena tiup angin? Takkanlah bduak-budak ini sangkut rambut mereka di situ? Tinggi tempatnya, kena panjat guna kerusi baru dapat capai.
Aku pun bertanyalah pada Lina dan Ana kalau-kalau mereka malas nak buang rambut gugur itu di tong sampah, lalu mereka sangkutkan di situ. Masing-masing enggan mengaku. Gila punya kerja kan? Lina dan Ana sudah mula cuak, aku pun buang rambut itu sekali dengan bunga-bunga itu juga. Kemudian selesai saja mengemas, rumah kami tenang dalam seminggu dua.
Selepas itu, jadi balik tetapi kali ini lain pula kesnya. Kali ini main gas pula. Habis satu rumah bau gas, padahal tiada sesiapa pun yang masak. Kalau ye pun, takkanlah amnesia kot sampai terlupa tutup dapur gas selepas guna kan. Yela, siapa tak cuak kalau tiba-tiba bau gas kuat. Kalau meletup rumah, naya. Selalu juga terhidu bau gas ini. Tetapi selepas tanggal kepala dapur gas, bau dah tak ada.
Bila menjelang malam, main tutup lampu dan kipas pula. Ajak bergurau malam-malam, siang hari tak nak pula bergurau. Satu malam itu, si Atin diganggu. Tengah syok tidur, tiba-tiba kipas terpadam. Dia terjagalah sebab terasa panas. Semasa dia nak hidupkan semula kipas, dia terpegang tangan yang mana kukunya terasa panjang, permukaan tangannya kasar sekasarnya. Terus tak jadi ON kipas. Esoknya, Atin demam terkejut.
Yang dua senior itu pula suka keluar dating sampai lewat malam. Balik rumah bila dah jam 1-2 pagi. Manalah benda itu tak mengikut kan? Malam itu, selepas bali kdari dating seperti biasa, mereka lepak dalam bilik sambil berborak sakan. Masa itu, kami semua sudah tidur.
Bila mereka nak tidur, tiba-tiba terdengar ada benda yang mencakar tingkap mereka. Ingatkan perasaan saja, selepas itu kerap pula terdengar. Bayangkan siapa yang nak bergurau tengah malam begitu dan siapa pula yang gigih nak panjat tangga sebab rumah kami di tingkat tiga. Tak lain tak bukan, memang benda itu mengikutlah kan kalau dah balik lewat.
Sudah banyak kali kami beri nasihat tetapi mereka berdua tak nak dengar. Tapi bila boyfriend nasihat, nak pula mereka dengar. Sejak dari hari itu, mereka dah tak keluar balik lewat. Cepat saja balik ke rumah. Tak ada dah wayang midnight.
Yang ini pula terjadi di bilik aku. Aku dengan Lina suka melayan movie di laptop sambil bergelap dalam bilik. Si Ana pula jarang ada di rumah sebab rumah kakak dia dekat-dekat situ saja. Jadi, aku dengan Lina melayan movie tetapi menghadap pintu, saja nak mengambil cahaya dari bilik depan iaitu bilik senior.
Mereka pada masa itu pun sedang menghadap kami sambil buat assignment di laptop masing-masing. Aku dengan Lina, syok melayan movie percuma yang dapat dari Facebook.
Tiba-tiba aku rasa macam ada orang tengah memerhatikan kami. Bula roma tak usah cakaplah, dah terpacak habis. Selepas itu, dapat pula mesej di Facebook Chat dari senior depan bilik kami.
"Jangan pandang belakang di bucu dinding (yang dekat dengan tingkap yang aku ceritakan itu), ada benda mata dia merah, badan dia besar, berbulu panjang sedang duduk memandang korang berdua," katanya.
Selesai baca mesej itu terus terasa nak kencing. Aku dengan Lina sudah saling berpandangan. Tetapi aku jenis degil dan aku pandang juga. Memang betul apa yang senior aku kata. Nafas dah macam lari pecut Usain Bolt. Terus aku bangun dan ON lampu. Hampeh betul! Kasar permainan dia.
Jadi malam itu, aku dengan Lina tak dapat tidur. Malam itu juga terdengar bunyi orang berjalan menghentak kaki yang memang jenis orang berbadan besar. Selepas itu terdengar bunyi guli terjatuh, dengar orang menyeret kerusi bagai. Logiklah main guli dan seret kerusi di tengah malam kan. Memang tak dapat tidur, sampailah esok paginya. Bukalah surah yasin, ayat kursi 3 qul semua. Memang tak dapat tidurlah malam itu.
Kemuncaknya esok petang itu, balik dari kerja (praktikal) dah petang, waktu mahgrib. Dah mandi siap nak solat bagai. Lina pula tengah sibuk bergayut dengan teman lelaki dia. Aku nak solat, bentang sejadah bagai, nak angkat takbir tiba-tiba di sejadah itu timbul sesuatu seolah-olah tulisan cina ataupun siam, entahlah. Makin lama makin menebal pula tulisan itu. Allah! Sumpah aku terkejut pada waktu itu. Tetapi yang perasaan, ada nombor rumah kami. Apa lagi, terus bungkus masuk dalam plastik sajalah sejadah itu.
Yang lain sudah mula ketakutan, ada yang menangis. Tanpa menunggu lama, kami ambil apa yang patut dan keluar dari rumah, pergi ke rumah kawan senior di tingkat bawah. Masa itu dah habis isyak, aku dengan Lina apa lagi, pergilah ke surau di bawah itu nak mencari orang suraulah kononnya. Malangnya, surau kosong.
Tetapi kebetulan ada seorang pakcik ini di belakang surau sedang mendukung cucunya. Aku dengan Lina menghampiri pakcik itu dan tidak semena-mena cucunya menangis kuat gila. Aku berasa pelik, kemudian pakcik itu kata ada 'sesuatu' yang mengekori kami.
Rupanya aku bukan dengan Lina saja pada waktu itu tetapi ada 'benda' ketiga di belakang aku. Allah, tak tahu nak cakap apa pada masa itu.
Pakcik itu kemudian menyuruh kami mengikut pergi ke rumah dia. Apa lagi, kami pun berjalanlah pergilah. Kebetulan pulapakcik itu memang pandai mengubati kes-kes seperti itu.
Kami pun bawalah pakcik itu pergi ke rumah kami. Sampai saja di rumah dia kata ada benda dalam rumah kami yang dihantar oleh orang. Lalu pakcik-pakcik itu pun membawa geng-geng suraunya beramai-ramai. Tiba-tiba pula jiran sebelah keluar dari rumahnya dan memarahi kami.
"Buat apa ramai-ramai depan rumah aku?!"
Kami memang tidak pernah bertegur dengan jiran sebelum kerana dia menakutkan. Dia seolah-olah memiliki sesuatu, jadi tak beranilah tegur.
Jiran sebelah rumah ini seorang lelaki dan perempuan.Yang lelaki itu terus keluar dan masuk ke rumah kami untuk tengok keliling, masuk bilik aku dan teka apa yang dia buat?
Dia pandang tepat ke tempat kami menemui rambut bergumpal itu. Kemudian dia dengan bengisnya keluar dari bilik, tolak pntu dan kata,
"Mana ada hantu? Korang yang jadi hantu itu kot! Menjerit tak tentu pasal," katanya.
Kami terus berasa pelik kerana kami tak ada sebut apa-apa pada dia. Jadi, nampak sangatlah kan?Faham-faham sajalah.
Selepas itu pakcik dan rakan-rakannya melaungkan azan di setiap penjuru bilik dan tabur garam keliling rumah. Tiba-tiba bau busuk keluar tetapi selepas beberapa minit, bau itu terus hilang.
"Alhamdulillah, benda itu sudah keluar dari rumah. Ada orang hantar. Orang itu dengki dengan anak-anak semua. Tetapi jangan risau sebab pakcik tahu siapa yang hantar," kata pakcik itu.
Bila pakcik itu keluar saja dari pintu rumah, pakcik pandang rumah jiran sebelah dan kemudian dia berkata,
"Hati-hati dengan orang sebelah. Jangan pandang mata dia, jangan tegur dia," katanya.
Dari situlah kami tahu siapa yang menghantar benda itu. Semenjak hari itu, rumah sewa kami sudah pulih seperti biasa. Alhamdulillah. Iktibarnya, jangan rasa semua orang suka pada kita. Kemudian bila pilih rumah sewa yang hendak diduduki, jangan main masuk begitu sahaja. Dan kalau nak jadi penceramah itu biarlah bertempat. Kalau duduk rumah sewa itu kenalah jaga adab, adab berjiran. Senang cerita, jaga segala-galanya. - Sya | The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment