Puasa Pertama Bergelar Islam , “Dia tahu saya memeluk Islam dan kami berbeza agama, namun dia tak marah saya bertukar agama dan hubungan kami berdua masih erat seperti dulu."



Chukai: “Sudah dua kali saya berpuasa, namun puasa kali pertama pada Ramadan tahun lalu tak sama dengan tahun ini,” kata Nur Nina Farisha, 19, penuntut semester tiga Diploma Kejuruteraan dan Mekanikal Pelantar Minyak Kolej RANACO, kampus Bandar Baru Kijal.
Nur Nina memeluk Islam di hadapan Dr Zakir Naik ketika penceramah terkenal itu mengadakan ceramah di sini, 15 April lalu.
Katanya kali pertama belajar berpuasa bulan Ramadan tahun lalu ketika berada di Pasir Gudang, Johor dia tidak memperoleh nikmat berpuasa kerana ketika itu belum memeluk Islam secara rasmi berbanding tahun ini.
“Ketika itu saya berpuasa hanya sekadar ingin tahu bagaimana susah senang orang Islam berpuasa, tak ada rasa apa-apa nikmat berbanding sekarang dan sekadar menahan lapar dan dahaga.
“Selepas memeluk Islam pada detik 12.05 malam, 15 April lalu di hadapan Dr Zakir Naik, puasa Ramadan tahun ini jauh berbeza dari aspek nikmat berpuasa meskipun menahan lapar dan dahaga yang sama,” katanya ketika ditemui di Kolej RANACO Bandar Baru Kijal.
Menurutnya memang ada perbezaan berpuasa ketika dirinya belum memeluk agama Islam dengan selepas memeluk agama Islam apabila kini dia tenang sepanjang waktu meskipun sibuk dengan urusan pelajaran.
Dia yang tinggal di rumah sewa di Kemasek bersama enam rakan pelajar lain, dua daripadanya beragama Kristian dan empat berbangsa Melayu beragama Islam tidak menghadapi masalah berpuasa kerana dua rakan beragama Kristian itu memahaminya.
Mengenai hubungan dengan keluarganya, terutama ibunya yang berada di Pasir Gudang, Johor, Nur Nina berkata, selepas seminggu memeluk Islam, dia pulang untuk berjumpa ibunya berusia 46 tahun dan ibunya menyambut baik kepulangannya.
“Dia tahu saya memeluk Islam dan kami berbeza agama, namun dia tak marah saya bertukar agama dan hubungan kami berdua masih erat seperti dulu.
“Saya tetap sayangkan dia, apatah lagi dalam Islam sendiri kita diajar menghormati ibu bapa dalam perkara tidak berkaitan aqidah,” katanya.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri akan datang, Nur Nina berkata, dia akan menyambutnya di rumah rakannya di Kota Bharu, Kelantan.
Harian Metro
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment