"TAKPELAH HILANG ANAK SEORANG DARI HILANG NENEK..."


Sejak 4 tahun yang lalu, aku tak pernah balik ke rumah. Ya, rumah mak ayah aku. Sebabnya? Aku kecewa dengan sikap mak. Walaupun ayah banyak memujuk, tetapi aku menolak dengan baik. Selama 4 tahun ini juga, mak tidak pernah panggil aku balik semula.

Kisahnya 4 tahun yang lalu, aku tamat belajar dari matrikulasi dan aku 'bercuti' di rumah sementara menunggu panggilan masuk universiti. Di rumah hanya ada aku, ayah, mak, adik lelaki, adik perempuan dan nenek sahaja.

Sebelum ini nenek tinggal bersama dengan Maklong, Tetapi maklong dah tak tahan dengan sikap nenek yang suka memerli dan menghina suaminya.

Paklong seorang pekerja kilang simen. Ditakdirkan paklong terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan dia buat sebelah mata. Jadi, memang keadaan maklong pada masa itu agak susah sikit. Disebabkan maklong tidak bekerja, dan pada masa itulah nenek buat keputusan untuk tinggal bersama mak aku.


SEMINGGU DIPERLI NENEK

Ayah aku berasal dari keluarga yang senang. Rumah kami pun, alhamdulillah semua cukup dan boleh dikatakan selesa. Seminggu aku duduk di rumah, seminggu itu jugalah nenek memerli aku kononnya aku ini pemalas, kerja makan tidur sahaja. Padahal mak aku sendiri pernah cakap antara kami lima beradik, aku yang paling rajin dan teliti. Mak tak pernah pun complaint kalau aku buat kerja.

Banyak kali aku cakap pada mak, "Nak rajin macam mana lagi ma?"

"Nenek kan dah tua, biasalah tu," kata mak.

Seperti mak orang lain, mak sangat positif dan sangat susah nak tengok mak aku bercerita tentang orang lain.


KERANA NENEK, AKU 'DIHALAU' KELUAR RUMAH

Sehinggalah satu hari di waktu senja ketika ayah dan adik lelaki sudah pergi ke masjid, aku pun bersiap-siap nak berbuka. Aku dengan adik perempuan berpuasa pada hari itu. Sewaktu aku tengah memanaskan lauk, tiba-tiba..
"Buat kerja malas, membuta saja! Bangun terus makan," kata nenek.

Aku terkejut dan terus meninggikan suara pada nenek. Yang ini aku mengaku aku salah dan of course nenek melenting dan menjerit memanggil mak.

"Kau halau budak kurang ajar ini keluar! Kalau kau tak halau, kau pun sama anak derhaka!

"Kau ni pun bodoh! Apsal tak bunuh saja anak kau ni ketika dia masih kecil?!" bentak nenek pada mak.

Mendengar kata-kata nenek itu membuatkan aku semakin marah. Tergamak dia berkata begitu terhadap aku?

"Kenapa nenek macam ni? Orang buat apa pun, ada saja yang tak kena," giliran adik aku pula marah nenek.


'TAKPELAH HILANG ANAK SEORANG DARI HILANG NENEK'


Dalam keadaan marah, kami berdua masuk ke bilik. Dalam 15 minit kemudian, mak masuk ke bilik dan dia menghulur wang sebanyak RM200. Dia minta tolong aku pergi menumpang berteduh sementara di rumah makcik.

Ya Allah, masa itu Allah sahaja yang tahu perasaan aku. Kecewa, kecewa sebab mak mudah sangat mendengar kata-kata nenek. Sebagai anak, aku mahu juga mak mempertahankan aku. Tetapi mak aku tidak mahu menjadi anak derhaka, dia turutkan saja kemahuan nenek.

Aku tak mampu berkata apa-apa.

"Ma sanggup kan buang anak ma tanpa selidik dulu?" soal adik perempuanku.

Jawapan mak? Jawapannya membuatkan aku rasa lost sehingga ke hari ini.

"Takpelah hilang anak seorang dari hilang nenek. Hilang seorang, ada lagi 4," kata mak.

Masa itu aku dah tak fikir apa dah. Mungkin ada salah silap aku yang mak pendamkan selama ini sehingga dia tergamak berkata begitu. Malam itu juga aku kemas baju, berjalan kaki ke stesen bas. Aku tak pergi ke rumah makcik tetapi aku terus pergi ke Pulau Pinang. Tumpang rumah kawan.

Di sana, aku minta kerja kilang dan duduk di hostel yang disediakan. Tetapi tahu-tahu sajalah hostel kilang macam mana. Bahaya!


AYAH & ADIK DATANG PUJUK

Lama aku bekerja. Bulan puasa pun kerja, hari raya pun aku bekerja. Masa itu aku hanya fikir nak mencari duit untuk masuk universiti. Aku dapat masuk IPTA di utara Malaysia.

Aku call rumah, adik yang jawab. Tanya sama ada, terima tak surat tawaran rasmi di rumah. Aku minta tolong dia poskan ke alamat kawan aku tetapi dia tak buat pun. Sebaliknya dia dengan ayah pergi ke rumah kawan aku dan tanya di mana tempat aku bekerja, tinggal di mana.

Masa itu, pertama kali aku berjumpa dengan ayah dan adik setelah sekian lama. Sebelum ini mereka sudah usaha mencari aku tetapi aku tukar nombor telefon. Aku pilih jalan untuk melarikan diri.

Maka bermulalah sesi pujuk memujuk. Aku menolak dan menyatakan aku kecewa dan tawar hati. Malas nak fikir dan aku buat keputusan.

"Selagi mak tak panggil balik, saya tak akan balik dan selagi itulah saya akan terus begini,"

Aku tahu mak seorang yang baik dan sempurna bagi aku. Tetapi aku rasa tidak dihargai bila mak berkata, "Hilang anak seorang, ada lagi 4 orang,". Satu perasaan yang sangat-sangat sakit, perit.


MASUK 'U' SENDIRI, PUASA & HARI RAYA PUN SENDIRI

Hari pendaftaran masuk universiti, aku pergi seorang diri. Aku uruskan semuanya sendiri. Sejak masuk universiti, aku berhenti kerja kilang. Desa ini sudah menjadi rumah aku. Bertahun-tahun aku duduk di sini. Aku buat kerja part time untuk mencari duit. Aku juga buat perniagaan online untuk menambah pendapatan. Iyelah, internet percuma. Hehe!

Terus terang aku cakap, aku meraih pendapatan lebih dari cukup sampai boleh menyimpan RM600 setiap bulan. Dan aku tak ambil PTPTN. Untuk adik-adik yang sedang belajar tetapi duit tak cukup, cubalah berniaga online. InshaAllah ada rezeki kamu.

Ayah ada bank in duit setiap bulan tetapi aku kerja juga untuk persediaan di masa depan.

Tetapi tahun ini merupakan tahun terakhir aku. Selepas ini tak tahu nak duduk di mana pula. Sayang rasanya nak tinggalkan rumah ini. Tempat aku berteduh, susah senang aku di sini. Puasa dan beraya pun di sini. Meriah beb, masjid penuh bila pagi sembahyang raya.


RINDU BAU MAK

Tetapi bila sudah dewasa ini, aku rindu pada keluarga. Rindu pada mak, rindu pada bau mak. Mak-mak ada satu bau yang wangi kan bila kita peluk cium dia.

Aku tak banyak berhubung dengan keluarga. Yang aku selalu contact pun adik perempuan dan ayah sahaja. Dari apa yang aku tahu, kakak aku dah lama tak balik ke rumah. Dia pergi membawa diri ke negara orang dengan alasan sambung master. Abang aku pula dah kahwin, duduk jauh dari rumah mak ayah. Memang jaranglah balik. Adik lelaki dan perempuan, kedua-duanya berada di UIA Kuantan. Jauh juga.

Menurut adik, sebenarnya kakak dan abang aku geram pada mak yang 'buang' aku kerana nenek.

Dan ayah pernah cakap, "Kasihan ma. Yang kanan ibu sendiri, yang kiri anak sendiri. Bila lebihkan yang kanan, yang kiri kecil hati. Bila lebihkan yang kiri, yang kanan kecil hati,"

Tetapi mak aku nampak rileks saja. Tapi mana ada mak yang tak risau tentang anak-anaknya? Tetapi, itulah aku rasa ini jalan yang terbaik buat aku. Aku buat sebab sayangkan mak dan tak mahu dia menjadi anak derhaka pada nenek. Cukuplah. - Cantik

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment