'Beli makanan untuk rakan ponteng puasa, saya memang jenis tak malu'


KUALA LUMPUR - Seorang bekas pekerja kilang mengaku pernah mengambil upah RM2 - RM3 membeli makanan untuk rakan-rakannya yang ponteng puasa. 

Zira, 29, berkata kepada wartawan Sinar Harian mengakui bahawa dengan cara itu dia boleh meraih pendapatan sampingan sehingga mencecah ribuan ringgit. 

Biarpun sedar bahawa perbuatan itu salah dan berdosa di sisi agama, namun dia tetap meneruskan juga kegiatan tersebut di mana pada waktu itu dia hanya memikirkan jumlah pendapatan yang akan diperolehnya. 

"Saya memang jenis tidak malu. Orang nak kata apa pun, katalah. Lagipun sebagai perempuan, kita ada waktu-waktu tak boleh berpuasa. 

"Seminggu saya beli di satu kedai ini, minggu seterusnya beli di kedai lain. Jadi tidak nampak ketara sangatlah," katanya. 

Menurut Zira, dalam sehari dia membeli sehingga 20 set makanan walaupun bukan pada hari dia bekerja hanya semata-mata mahu memberi perkhidmatan itu kepada kaki ponteng puasa. 

"Faham-faham sajalah kerja di kilang bagaimana. Angkat-angkat barang berat. Stor kilang akan menjadi sasaran untuk rakan-rakan yang tidak berpuasa ini, makan. Bulan puasa, gaji saya bersih sebab dapat banyak duit dari hasil upah ini," katanya. 

Walau bagaimanapun Zira hanya melakukan kegiatan itu selama tiga tahun. Sejak berhenti kerja lima tahun lalu, dia sudah tidak melakukan kegiatan itu lagi. 

"Bila fikir balik, sampai bila nak makan duit hasil upah macam tu?" soalnya sendiri. 

Zira mengakui, walaupun dia menjadi orang tengah membeli makanan untuk kaki ponteng puasa, dia tetap berpuasa seperti biasa dan adakalanya dia juga turut serta bila masa 'cuti'. 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment