7 pelajar maut: Pemandu van Tahfiz Al Hashimi tiada lesen memandu


KUALA KRAI, KELANTAN - Polis hari ini mendedahkan pemandu van Tahfiz Al Hashimi yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan tujuh pelajar di KM55, berdekatan Kampung Telekong, semalam, tiada lesen memandu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj, berkata, pemandu van Maxus 80 itu, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 24, dipercayai hilang kawalan selepas memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

"Hasil siasatan mendapati, pemandunya dipercayai tiba-tiba hilang kawalan selepas memotong sebuah kenderaan di hadapannya. 

"Apabila pemandu van terbabit masuk semula ke laluannya, secara tiba-tiba van yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan," katanya, memetik laporan dari Berita Harian online. 

Dalam kejadian jam 9.40 pagi semalam, 12 pelajar tahfiz yang dalam perjalanan untuk menghadiri program Tafsir Al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan tujuh pelajar tahfiz. 

Lima mangsa termasuk seorang yang berasal dari Thailand, maut serta-merta di tempat kejadian, manakala dua lagi pelajar meninggal dunia di Hospital Kuala Krai, ketika menerima rawatan. 

Siasatan awal terhadap pemandu van berkenaan tidak menemui sebarang rekod kesalahan trafik. Malah ujian air kencingnya juga negatif. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment