Bukti Sains dan Al-Quran: Puasa Memberi Kesihatan Kepada Kita



Diantara tujuan( Maqasid al-Syariah)  disyariatkan puasa di dalam Islam  ialah untuk menjadikan orang yang berpuasa mempunyai sifat takwa. Takwa membawa maksud : "melaksanakan yang diperintah Allah dan meninggalkan segala apa yang dilarang". Semua perintah Allah yang disyariatkan pastinya mempunyai faedah dan manfaatnya, begitu juga dengan segala laranganNya yang pasti ada kemudaratannya. Maka puasa juga memberikan faedah dan kesan yang sangat baik kepada kita dari aspek kesihatan. Di antara hadis nabi s.a.w menyebut:

" Berpuasalah nescaya kamu akan sihat" 
(Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Abu Naim dari Abu Hurairah)

Apabila sesaorang itu berpuasa, sebenarnya amalan tersebut telah mendidik dan membantu perut (sistem penghadaman) hanya menerima makanan dan minuman pada masa yang ditetapkan sahaja. Sedangkan pada hari-hari biasa, seseorang itu sentiasa menikmati hidangan makanan tanpa mengira masa dan jenis makanan dan yang dimakan. Ia menjadikan  perut  bekerja memperoses makanan tanpa rehat.

Para penyelidik dan pakar ilmu perubatan juga mengakui bahawa puasa dapat membuang toksin dari badan dan secara tidak langsung meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit.

Hadis di atas dapat difahami bahawa menjaga pemakanan adalah faktur yang berkait rapat dengan kesihatan yang baik. Oleh yang demikian pakar-pakar pemakanan telah melakukan kajian tentang persoalan tersebut lalu mengemukakan "Konsep pemakanan seimbang". Piramid makanan adalah kaedah yang paling mudah untuk mengamalkan pemakanan yang sihat. Malangnya apabila manusia tidak mempedulikan syor tersebut lalu menterbalikkan Piramid makanan, maka jadilah makanan yang sepatutnya sedikit dimakan diambil dengan berlebihan dan yang perlu diambil dengan kadar yang banyak lalu diambil dengan kuantiti yang sedikit akhirnya mengundang penyakit dan kemudaratan. Benarlah firman Allah dalam al-Quran:

"Makan dan minumlah kamu dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlebih-lebihan" ( Surah al-A'raf:31)

Puasa sebenarnya dapat menghindarkan penyakit. Penyakit datang daripada perut iaitu makanan yang dimakan. Nabi s.a.w  telah menyebutkan:

 "Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit" ( Hadis riwayat muslim)

Menurut  ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila seseorang itu makan sehingga terlalu kenyang, otak  akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas.

Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Allah berfirman,

"Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu." ( Surah al-Baqarah: 168).

Ayat ini merupakan suatu panduan dalam membina kekuatan jasmani, emosi dan rohani manusia yang murni. Makanan halal lagi baik adalah menjadi asas  dalam  Islam yang bukan hanya semata-mata menjaga kesihatan jasmani, tetapi juga  kesihatan rohani (jiwa dan hati).

Islam juga telah  meletakkan kebersihan dan kesempurnaan adab dan aturan pemakanan sebagai satu prasyarat dimakbulnya doa oleh Allah. Mukmin yang sentiasa memenuhkan perutnya dengan sumber makanan haram bukan saja dilarang Allah, tetapi segala munajat doanya tidak diperkenankan Allah. Nabi s.a.w telah bersabda:

"Sesungguhnya Allah itu maha Baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Dan Allah memerintahkan kepada orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan kepada para rasul. Allah SWT berfirma:"Hai para rasul, makanlah segala sesuatu yang baik dan kerjakanlah amalan yang soleh"(Surah al-Mukminun :51).

Dia juga berfirman: "Hai orang yang beriman, makanlah apa-apa yang baik daripada yang telah Kami rezekikan kepadamu" (Surah al-Baqarah:172). Kemudian Rasulullah SAW menceritakan perihal seseorang yang menempuh perjalanan yang jauh, rambutnya kusut masai dan penuh debu.Dia menadah kedua-dua tangan ke langit seraya berkata: "Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan perutnya dikenyangkan dengan makanan yang haram, maka bagaimana akan diterima permohonannya (doanya)"(Hadis riwayat Ahmad,Muslim dan Tarmizi)

Islam juga menekankan kepada gaya pemakanan yang bercorak sederhana dan tidak keterlaluan. Menurut Imam Al-Ghazali terdapat enam sifat tercela yang berlaku akibat corak pemakanan yang melampaui batas atau berlebihan-lebihan antaranya ialah timbul sikap malas untuk beribadah kepada Allah dan akan menimbulkan banyak penyakit.

Ada orang yang beranggapan bahawa mengapa perlu risau dan takut kerana setiap penyakit yang datang ada ubatnya sebangaimana Nabi SAW bersabda:

"Tiap-tiap penyakit itu (ada) ubatnya . Apabila menepati ubat itu akan penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan keizinan Allah"
( Hadis riwayat Muslim dan Ahmad)

" Tiadalah Allah menurunkan sesuatu penyakit melainkan Allah menurunkan (juga) baginya penawar" (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah , Nasaie dan al-Hakim)

Memanag benar apa yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW itu namun nabi juga menasihatkan kita bahawa menjaga dan memelihara kesihatan itu lebih baik dari mengubati penyakit. Dengan ertikata lain mencegah lebih baik dari merawat.

 Sumber: JAIS


via Bin Usrah
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment