Membaca surah selepas Surah Al Fatihah dalam sembahyang merupakan sunat hai'at yang disunatkan sebagai ittiba' (mengikut) perbuatan Nabi SAW.
Bahkan menurut kebanyakan ulama dalam mazhab asy-Syafi'e, meninggalkan membaca surah selepas Surah Al Faatihah adalah makruh.
Maka adalah sunat membaca surah selepas Surah Al Fatihah bagi imam dan munfarid (orang yang bersembahyang seorang diri), sama ada dalam sembahyang jahr, iaitu sembahyang yang dinyaringkan bacaan atau sembahyang sirr, iaitu sembahyang yang diperlahankan bacaan.
Oleh yang demikian, sunat hukumnya membaca surah selepas Surah Al Fatihah dalam sembahyang dua rakaat, sama ada sembahyang fardhu seperti Sembahyang Jumaat dan Sembahyang Fardhu Subuh atau sembahyang sunat seperti Sembahyang Sunat Subuh, Sembahyang Sunat Hari Raya dan lainnya.
Begitu juga disunatkan membaca surah selepas Surah Al Fatihah pada dua rakaat yang pertama daripada sembahyang empat rakaat, iaitu Sembahyang Fardhu Zuhur, Asar dan Isyak serta pada dua rakaat yang pertama daripada sembahyang tiga rakaat, iaitu Sembahyang Fardhu Maghrib.
Adapun dalam Sembahyang Jenazah pula, maka tidak disunatkan untuk membaca surah selepas Surah Al Fatihah bahkan hukumnya adalah makruh.
Disyaratkan bahawa surah tersebut hendaklah dibaca selepas Surah Al Fatihah. Sekiranya ia dibaca sebelum Surah Al Fatihah maka hukumnya adalah makruh serta bacaan tersebut tidak dikira kerana ia bertentangan dengan sunnah.
Oleh itu, hendaklah dia mengulang kembali bacaan surah tersebut selepas dia selesai membaca Surah Al Fatihah.
Kadar Yang Memadai Bagi Bacaan Surah Selepas Surah Al Fatihah Dalam Sembahyang
Tuntutan sunat membaca sesuatu ayat atau surah daripada Al-Qur'an selepas Surah Al Fatihah itu dapat dicapai dengan hanya membaca satu ayat sahaja daripada Al-Qur'an. Bagaimanapun, yang afdhalnya adalah sebanyak tiga ayat.
Akan tetapi satu surah yang lengkap, sekalipun surah yang pendek, adalah lebih afdhal dibaca daripada membaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang (jika tidak dibaca keseluruhannya).
Ini kerana apabila dibaca sebahagian ayat sahaja dari surah yang panjang, boleh jadi dia waqaf (memberhentikan) di tempat yang tidak diharuskan waqaf, dan ini boleh memutuskan ayat Al-Qur'an yang mempunyai kaitan dengan ayat yang selepasnya.
Sekiranya seseorang membaca satu surah yang sama pada rakaat pertama dan rakaat kedua, misalnya pada rakaat pertama dia membaca Surah Adh Dhuha, kemudian pada rakaat kedua dia mengulang kembali Surah Adh Dhuha itu, maka yang demikian itu adalah memadai dan tercapai tuntutan sunat itu walaupun dia hafaz surah-surah yang lain.
Adapun membaca Surah Al Fatihah bagi menggantikan surah-surah tersebut menurut ulama adalah tidak memadai dan tidak terhasil tuntutan sunat tersebut.
Dikecualikan dalam hal ini sekiranya orang tersebut tidak hafaz selain daripada Surah Al Fatihah. Maka dalam hal ini, tuntutan sunat tersebut terhasil dan tercapai dengan mengulang Surah Al Fatihah itu sebagai ganti surah-surah tersebut. Inilah pendapat yang tepat dan dipilih dalam mazhab asy-Syafi'e.
Tuntutan Membaca Surah Selepas Surah Al Faatihah Bagi Makmum
Tuntutan untuk membaca surah selepas Surah Al Faatihah ke atas makmum berbeza dalam sembahyang jahr, iaitu sembahyang yang dinyaringkan bacaan dengan sembahyang sirr, iaitu sembahyang yang diperlahankan bacaan.
Begitu juga terdapat beza hukum dalam permasalahan ini bagi makmum yang masbuq. Penjelasannya adalah seperti berikut:
(1) Dalam Sembahyang Jahr
(i) Makmum dapat mendengar bacaan imam.
Tidak disunatkan ke atas makmum untuk membaca surah selepas Surah Al Fatihah dalam sembahyang jahr jika makmum itu dapat mendengar bacaan imam. Bahkan makmum dituntut dan disunatkan untuk mendengar bacaan imam.
Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Aa'raf ayat 204:
Tafsirnya: “Dan apabila Al-Qur'an itu dibacakan, maka dengarkanlah ia (dengan teliti) serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-A'raf : 204)
Jika dia membaca juga maka ini tidaklah membatalkan sembahyang akan tetapi hukumnya adalah makruh.
Walau bagaimanapun, membaca surah selepas Surah Al Fatihah dalam sembahyang jahr yang bacaan imamnya dapat didengar oleh makmum boleh menjadi haram ke atas makmum sekiranya bacaan makmum itu boleh mengganggu jemaah lain.
(ii) Makmum tidak dapat mendengar bacaan imam.
Sekiranya makmum tidak dapat mendengar bacaan imam dalam sembahyang jahr, misalnya kerana jauh daripada imam, ataupun imam memperlahankan bacaannya dalam sembahyang jahr itu, atau makmum tidak dapat mendengar bacaan imam dengan jelas (sehingga tidak dapat membezakan antara huruf-hurufnya), ataupun makmum tidak dapat mendengar bacaan imam dengan baik kerana masalah pendengaran, maka dalam hal ini dituntut ke atas makmum untuk membacanya. Bagaimanapun, hendaklah makmum tersebut membaca secara sirr sahaja kerana makmum ditegah daripada membaca secara jahr di belakang imamnya.
(2) Sembahyang sirr
Adapun dalam sembahyang sirr pula, maka makmum dituntut untuk membaca surah selepas Surah Al Fatihah kerana dalam sembahyang sirr makmum tidak dapat mendengar bacaan imam.
Walau bagaimanapun, sekiranya imam membaca secara jahr dalam sembahyang yang sepatutnya dibaca secara sirr, contohnya imam membaca secara jahr dalam Sembahyang Fardhu Zuhur, maka dalam hal ini makmum tidak disunatkan untuk membaca surah selepas Surah Al Fatihah, bahkan makmum dituntut untuk mendengar bacaan imam sepertimana dalam keadaan sembahyang jahr.
(3) Bacaan Surah Selepas Surah Al Faatihah Bagi Makmum Yang Masbuq
(i) Makmum yang tidak sempat mengerjakan rakaat pertama dan rakaat kedua bersama imam dalam Sembahyang Fardhu Zuhur atau Isyak misalnya, adalah disunatkan untuk membaca surah selepas Surah Al Fatihah pada rakaat terawal yang didapatinya bersama imam.
Sebagai contoh, seorang makmum baru mengikuti jemaah sedangkan imam sudah berada pada rakaat ketiga dalam Sembahyang Fardhu Zuhur atau Isyak.
Maka dalam hal ini, sunat makmum yang masbuq itu membaca surah selepas Surah Al Fatihah pada rakaat yang pertama dan kedua yang dikerjakannya bersama imam (rakaat ketiga dan keempat bagi imam). Perkara ini boleh dilakukan jika makmum yang masbuq itu berkesempatan membacanya pada rakaat tersebut.
Sekiranya dia tidak ada kesempatan untuk membacanya, maka dia boleh menqadha bacaan surah selepas Surah Al Fatihah itu secara sirr pada baki rakaat yang ada selepas imam memberi salam (rakaat ketiga dan rakaat keempat bagi makmum masbuq). Ini bagi menjaga serta memastikan sembahyangnya itu tidak kosong daripada surah tanpa sebarang keuzuran.
(ii) Dalam Sembahyang Fardhu Maghrib pula, sekiranya seorang makmum baru mengikuti jemaah sedangkan imam sudah berada pada rakaat ketiga, lalu dia tidak dapat membaca surah selepas Surah Al Fatihah dalam rakaat yang dikerjakannya bersama imam itu (rakaat pertama bagi makmum masbuq dan rakaat terakhir bagi imam), kemudian selepas imam memberi salam, dia tidak juga membaca surah selepas Surah Al Fatihah pada rakaat kedua yang dikerjakannya secara bersendirian, maka menurut Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah, sunat dia membaca dua surah pada rakaat ketiga yang dikerjakannya sebagai ganti bacaan surah yang tidak dibacanya pada rakaat yang pertama dan kedua.
(iii) Sekiranya makmum yang masbuq itu mendapati imam dalam keadaan dia tidak sempat membaca Surah Al Fatihah, contohnya dia mula mengikuti imam semasa imam sedang rukuk pada mana-mana rakaat sembahyang, maka dengan sendirinya bacaan surah selepas Surah Al Faatihah juga terlepas daripada tanggungan makmum sepertimana halnya bacaan Surah Al Fatihah terlepas daripada tanggungan makmum dan ditanggung oleh imam. Maka dari itu, dia tidak lagi dituntut untuk membaca surah selepas Surah Al Fatihah bagi rakaat tersebut dan dia tidak perlu menqadhanya pada rakaat yang lain.
Demikian beberapa penjelasan tentang hukum membaca surah selepas Surah Al Fatihah bagi makmum. Semoga ia akan menambahkan lagi ilmu kita mengenai ibadat sembahyang agar kita dapat menunaikan segala tuntutannya, sama ada yang wajib ataupun yang sunat dengan sempurna sepertimana yang dituntut oleh syarak.
Sumber : sentiasapanas.com
via Bin Usrah
Blogger Comment
Facebook Comment