ISTERI AKU MINTAK BEB
Aku terpanggil untuk bercerita semua ini sebab aku rasa aku pernah buat salah dengan isteri aku. Sebenarnya sudah lima tahun kami berkahwin dan aku sangat sedar sepanjang perkahwinan, isteri banyak menangis dari bahagia.
Kami bercinta dan kahwin. Masa awal-awal kahwin itu, aku happy sangat. Tapi bila perkahwinan baru berusia sebulan, aku mula tak suka dengan isteri sebab aku rasa dia ada kekurangan. Masa itu, dia mengandung. Walaupun itu anak pertama kami, aku rasa tak gembira pun. Sebaliknya aku rasa membebankan.
Aku nak balik kerja pun aku rasa menyampah sebab isteri tak attract aku macam kami pertama kali kenal dulu. Dulu rasa tergila-gila sangat nak jumpa dia.
Dipendekkan cerita, sebab sebenarnya banyak perkara kejam yang aku dah buat di belakang isteri. Perkara yang aku sendiri tidak dapat maafkan bila aku teringat ex aku semula! Kemudian mulalah aku membanding-bezakan dua wanita ini. Aku siap beritahu isteri yang ex aku lagi sempurna untuk aku.
Sekarang, bila aku fikir-fikirkan semula, memang rasa malu dan nak melutut minta maaf pada isteri sebab menduakan dia. Bayangkanlah, tiga tahun lebih aku tipu dia.
Aku nak cerita, tapi korang janganlah marah aku pula. Aku cuma nak korang yang ada perangai macam aku ini sedar cepat.
Ada satu masa itu, aku balik dari kerja. Aku suruh isteri sediakan makanan. Dia cakap, "tak lalu nak masuk dapur". Aku memang tengking dan marah dia pada masa itu, siap kata dia tak guna dan paksa juga dia masak untuk aku.
Masa nak tidur satu hari itu, dia bagi aku bertambah stress. Dia kata aku busuk, bau rokok. Ini aku memang tak boleh terima sebab dulu dia langsung tak kisah pun. Aku tengking dia.
"Kalau aku busuk, berambuslah!!"
Aku paling tak suka isteri aku ini sebab dia terhegeh-hegeh. Aku faham perut dia dah besar pada masa itu. Tapi takkan tak boleh jalan laju sikit? Siap pegang-pegang pinggang pula. Menyesal, kenapa aku kahwin!
Korang yang baca pun mesti sakit hati dengan aku, kan? Sebenarnya aku pun sakit hati dengan aku sendiri. Tetapi itu dulu, sekarang aku dah lain disebabkan satu benda. Kawan rapat aku, Azman. Dia handsome seperti Aaron Aziz. Masa di universiti pun kami panggil dia Aaron. Yang aku pelik, dia berkahwin dengan seorang perempuan kampung yang aku boleh kata tak secocok dengan dia langsung.
Kali terakhir aku jumpa Azman, masa kami kerja bersama empat tahun yang lalu. Masa itu dia mekanik dengan aku di kedai pakcik aku. Sebulan lepas, aku terserempak dengan dia. Alangkah terkejutnya aku yang dia sudah memiliki syarikatnya sendiri. Aku tahan dia dan ajak minum sebab nak tahu macam mana dia boleh mencapai kejayaan seperti ini. Ternganga aku mendengar semua cerita dia.
Azman beritahu punca dia boleh berjaya sampai sekarang adalah disebabkan isterinya.
Aku tergamam. Azman beritahu lagi, disebabkan dia jujur dan sayangkan isteri, dia sangat rasa dia cepat berjaya. Walaupun Azman belum ada anak, tetapi dia sentiasa bersyukur dan cakap perkara-perkara yang baik tentang isteri dia. Serius saya kagum dan tidak sangka.
"Kau tahu tak, lagi banyak kita sayang dan hormat isteri, lagi banyak kita peluk cium dan gembirakan hati dia, kau sendiri akan terkejut dengan rezeki dan kebahagiaan yang tidak disangka-sangka," kata Azman.
"Benda yang kau terkejar-kejar dalam hidup kau sebenarnya ada di depan mata kau saja (isteri). Kau pelihara itu dulu, kau bahagiakan dia, baru yang lain akan datang," tambahnya lagi.
Aku tak tahu apa yang jadi dengan aku selepas itu. Dalam perjalanan balik, aku menangis, aku sedar yang aku ego saja selama ini. Aku teringat balik setiap kali aku paksa isteri masak, dia akan sapu balm di hidung dia. Kemudian aku akan dengar bunyi dia muntah teruk. Pernah sekali aku tengok dia lembik sangat. Aku bodoh pada masa itu. Aku cakap aku nak keluar makan dan biarkan dia di dalam tandas dalam keadaan begitu.
Baru aku sedar, ibu hamil ini rupa-rupanya sangat sensitif. Masa aku halau dia dari tidur di sebelah aku sebab dia kata aku busuk berbau rokok, dia tidur di lantai. Aku dapat rasakan dia menangis teruk setiap malam sebab aku tengok mata dia selalu bengkak.
Yang paling aku benci dengan diri aku, aku tak pernah urut dia. Aku biarkan isteri aku buat itu dan ini tetapi aku tak hargai dia. Aku rasa dia sakit pinggang pun sebab dia tidur atas lantai setiap hari. Mesti sakit badan isteri aku.
"Setiap kali aku nak balik rumah, aku akan belikan sesuatu untuk isteri aku sebab aku tahu dia akan happy," - Azman
Bila teringat pada kata-kata Azman, aku mula terfikir nak belikan sesuatu untuk isteri aku. Dalam perjalanan pulang, aku ternampak kedai bunga, tapi tak ada jumpa bunga ros pula. Jadi aku pun belilah apa yang ada.
Tiba di rumah, masa nak masuk, jantung berdegup kencang sebab selama ini aku bersalah terhadap isteri dan sangat berharap dia sudi memaafkan aku. Belum sempat aku ketuk pintu, isteri bagi salam pada aku dengan dua biji mangga di tangan dia. Dia cakap jiran bagi, aku tahu dia mengidam.
Masa dia salam aku, aku minta maaf pada dia dan bagi bunga pada dia. Tiba-tiba dia tergelak besar. Apahal pula isteri aku ni?
"Bang, bunga ini orang guna untuk upacara sembahyanglah abang. Abang beli kat mana?"
Adoi! Manalah aku tahu, patutlah aci tadi senyum-senyum kat aku. Buat malu. Tak apalah, sekurang-kurangnya aku berjaya buat isteri tergelak dan nikmat bila aku cium dan peluk isteri, masa itu sangat indah sangat-sangat. Aku dapat rasa penuh malaikat di tepi aku yang mendoakan kami.
Jadi itulah cerita tiga tahun yang lalu. Memang indah hidupp berkasih sayang dan bermanja ini. Aku dah lama tinggalkan keegoan aku itu. Lantaklah orang nak kata apa, yang penting aku dapat bahagiakan bidadari aku.
Sekarang isteri aku dah hamil anak kedua kami. Kandungannya sudah berusia 5 bulan. Jadi bila aku ternampak page kawan sekolah aku (penulis buku 9 bulan 10 hari), aku iminta izin untuk kongsikan cerita aku pada semua follower page 9 Bulan 10 Hari. Aku nak semua orang dapat merasa nikmat berkasih sayang seperti aku.
Semalam isteri ada cakap, "kalau ada rezeki untuk pergi ke Langkawi, dia nak makan beronok". Kampung akulah ini. Korang rasa apa yang aku akan cakap? Haha!
Aku serta merta terus minta dia bersiap dan kami pun gerak ke Langkawi. Sayang punya pasal, aku beli tiket penerbangan on the spot walaupun untuk seorang, one way saja harganya RM210. Since anak pertama kami masih kategori infant, untuk dia free lah. Hahaha. Kalau dulu mungkin aku kisah tetapi sekarang hidup aku dah lain dah, Alhamdulillah. Aku pun dah buka bengkel kereta sendiri. Dah jadi bos macam kawan aku, Azman.
Ini bukan beronok tetapi sebab aku terlampau sayangkan isteri aku. Aku tak malu pun untuk beritahu satu dunia yang aku sangat cintakan dia dan disebabkan cinta aku pada isteri aku dan disebab aku buang semua ego aku. Aku pun terkejut dengan rezeki yang tak disangka-sangka untuk kami sekeluarga. Terima kasih ya Allah. Terima kasih sebab sedarkan hambaMu ini.
Mesej ikhlas aku:
"Nur Maliza binti Hasim, abang cintakan sayang"
Untuk lebih info kehamilan dan kelahiran, anda boleh follow laman Facebook 9 Bulan 10 Hari
Perkongsian ini mendapat kebenaran dari pemilik laman 9 bulan 10 hari. Anda dilarang 'copy paste' artikel ini tanpa kebenaran penulis asalnya.
Blogger Comment
Facebook Comment