Tirai besi: Gara-gara jual kereta sendiri


Oleh Peguam, Nor Zabetha

Tirai besi: Gara-gara jual kereta sendiri.

Saya sendiri biasanya tidak menjangka betapa hebatnya sesuatu perkara yang kita anggap mudah boleh berakhir dengan dahsyat. Pengalaman kerja sentiasa mendewasakan saya.

Malam itu sudah lewat, hampir jam 2.30 pagi. Mata tak mahu pejam, jadi saya menonton TV. Tiba-tiba telefon berbunyi. Saya enggan jawab. Memang jarang saya dapat panggilan di waktu ini. Saya buat tak endah. Kali ini sudah kali ketiga. Mustahak agaknya, lalu saya jawab.

"Ya..?"

"Puan tolong saya. Adik saya ditangkap dan dibawa ke balai. Tadi polis datang. Kami semua sedang tidur. Bila polis sampai, mereka nak geledah rumah. Kami sekeluarga panik. 

"Saya tanya polis, kenapa nak bawa adik ke balai? Polis kata masih dalam siasatan, tak boleh beritahu. Saya tak tahu nak buat apa sekarang. Selepas geledah, mereka gari adik saya lalu adik saya dibawa ke balai," kata si pemanggil. 

Puas saya berfikir, agak-agaknya kenapa malam-malam begini polis buat tangkapan? Macam kes besar, sampai mengeledah rumah. Kes dadah? Macam-macam andaian yang bermain di fikiran saya.

"Begini, kalau tangkapan sudah dibuat, pagi esok hubungi semula pihak polis. Keluarga ada hak untuk mendapatkan informasi kerana adik cik perlukan pembelaan dan diwakili. Memang tugas polis akan hubungi keluarga kalau mereka hendak lanjutkan tempoh reman. 

"Sekarang ini masih tempoh siasatan. Dia akan disoalsiasat di balai polis. Polis ada hak menahan dia selama 24 jam untuk siasatan. Selepas tempoh ini, polis perlu mendapatkan arahan majistret. Kalau tahan tanpa arahan mahkamah selepas 24 jam, maka dia ditahan dengan salah. Biasa polis minta lanjutan penahanan reman kerana hendak buat siasatan lanjut. Saya boleh wakili untuk minta majistret kurangkan hari tahanan reman." jelas saya kepadanya.

Memang biasa saya akan menenangkan ahli keluarga dengan menceritakan prosedur undang-undang. Negara kita ada undang-undang. Polis juga dikawal oleh undang-undang. Kalau polis salah makanya orang awam boleh ambil tindakan terhadap polis. Kadangkala ahli keluarga jadi panik kerana tidak tahu prosedur undang-undang. Lebih elok mereka belajar sedikit supaya boleh jangka apa yang mungkin berlaku.

"Baik. Saya tunggu sehingga esok," kata si pemanggil.

"Seperkara lagi, beri kerjasama pada polis. Kerana ini boleh jadi pemfaktoran mengurangkan hukuman nanti", saya ingatkan kerana kadangkala dek kerana rasa marah, orang yang ditahan ada juga yang enggan beri kerjasama.

Esoknya saya menanti perkembangan terkini dari wanita itu. Dia menghubungi saya sebelum adiknya dibawa ke mahkamah. Katanya, ini semua gara-gara adiknya telah menjualkan kereta kepada seorang lelaki yang mendakwa dirinya agent 'used car'. Malahan, adiknya kenal rapat dengan lelaki ini. Jadi atas dasar percaya, dia serahkan kereta bulat-bulat kepada lelaki itu tanpa sebarang dokumentasi. 

Kemudian, entah bagaimana kereta tersebut telah terlibat dalam kes rompakan bersenjata. Dipercayai lelaki tadi telah menyerahkan kepada kenalannya yang lain. Perompak menggunakan kereta tersebut sebagai kenderaan untuk merompak.

Tidak sampai seminggu kereta tersebut diserahkan kepada kononnya agent. Begini pula jadinya. Bila disiasat polis, adiknya tidak dapat tunjukkan bukti walaupun dia berkata benar. Maka polis terus menekan, bagaimana boleh jual kereta tanpa hitam putih. Berdasarkan rekod penama yang sah adalah adiknya. Maka, dia adalah suspek yang terdekat untuk menyelesaikan kes.

Mujur, kes tersebut berjaya diselesaikan kerana terdapat transaksi telefon yang mengesahkan terdapat perbualan jual beli antara mereka.

Ini antara contoh malang tak berbau. Kita sentiasa berurusan atas dasar percaya. Mungkin zaman percaya mempercayai ini tak lagi praktikal. Langit tak selalu cerah. Jadikan kisah ini sebagai teladan. Jangan ambil mudah semua perkara.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment