KUALA LUMPUR - Berang tidur diganggu, seorang lelaki mempertikaikan tindakan beberapa petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan aktiviti foging pada waktu pagi.
Video berdurasi tiga minit itu menunjukkan, lelaki itu berang dengan tindakan petugas kesihatan KKM melakukan penyemburan asap membasmi denggi di awal pagi. Malah beliau turut merakam insiden itu menggunakan telefon bimbitnya.
"7.30 pagi datang sini spray/tembak nyamuk, time semua orang, budak-budak tengah tidur? Rumah mana yang terkena denggi itu? Siapa yang report ada penduduk yang kena denggi di sini? Ini semburan diesel kan? Diesel boleh menyebabkan apa kalau kita terhidu?" soal lelaki itu.
Bagaimanapun, salah seorang petugas kesihatan cuba memberikan penjelasan bahawa mereka menerima arahan dari pihak atasan untuk datang melakukan penyemburan membasmi nyamuk itu. Malah turut dijelaskan bahawa nyamuk aedes aktif pada waktu pagi.
Malangnya lelaki itu masih tidak berpuas hati dan meminta mereka menunjukkan surat yang memberikan kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian. Namun petugas terbabit meminta lelaki itu menghubungi pengarahnya untuk kepastian. Malangnya ditolak dan mempersoalkan mengapa dia yang perlu menghubungi ketua mereka?
Sementara itu, Public Health Malaysia (PHM) dalam kenyataannya semalam, berkata, orang awam tidak sepatutnya mengancam petugas kesihatan di lapangan yang diberi arahan untuk melakukan penyemburan pembasmian denggi itu.
"Masyarakat wajar berterima kasih dan memberi kerjasama pada pihak kesihatan untuk membanteras wabak denggi, bukan mengancam anggota kesihatan di lapangan.
"Anak yang sedang lena tidur di rumah mungkin akan menjadi mangsa seterusnya jika aktiviti kawalan dan pencegahan tidak dilakukan dengan berkesan," katanya.
Mengulas persoalan mengapa diesel digunakan dalam aktiviti penyemburan itu, PHM berkata, diesel digunakan kerana ia bersifat lebih ringan berbanding air. Oleh itu, bahan fogging akan berada lebih lama di udara dan berkesan.
"Selain diesel, air juga boleh digunakan. Namun ia lebih sesuai untuk aktiviti fogging di dalam rumah berbanding luar rumah.
"Penggunaan diesel dan bahan-bahan yang digunakan telah dipastikan selamat untuk masyarakat," katanya.
Justeru, PHM berharap orang ramai memberikan kerjasama dan perlu memahami bahawa petugas kesihatan terbabit hanya menjalankan tugas sahaja. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment