Bayi Baru Lahir Kurang 24 Jam Ditemui Di Tepi Jalan


JOHOR BAHRU - Seorang bayi perempuan yang baru lahir ditemui di tepi jalan di Kilometer 42 Tanjung Kupang menghala ke Gelang Patah, petang semalam, lapor Harian Metro

Bayi seberat 2.6 kilogram itu ditemui seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun pada jam 2.30 petang semalam ketika melalui kawasan itu sebelum ternampak bungkusan kain batik yang mencurigakan dalam keadaan bergerak-gerak atas rumput di tepi jalan tersebut. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, jarak bungkusan kain batik itu kira-kira dua meter dari pengadu dan kemudian memberhentikan motosikal untuk memeriksa lebih dekat. 

"Pengadu kemudian membuka balutan kain batik dan mendapati seorang bayi yang cukup sifat, lengkap berpakaian dan berlampin sebelum dibawa ke Balai Polis Gelang Patah, yang kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Gelang Patah," katanya. 

Pemeriksaan pihak klinik mengesahkan bayi perempuan itu baru dilahirkan kurang dari 24 jam dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut dan kini masih di bawah jagaan pihak hospital sebelum dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan bayi terbabit diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri, Asisten Superintendan Ridzuan Khalid di talian 07-5114222 untuk membantu siasatan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan dengan niat mahu membuang kanak-kanak berusia kurang dari 12 tahun.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment