'Saya Bersyukur Diberi Kesembuhan' - Nazim Othman


Pelakon, Nazim Othman, 32, luah rasa bersyukur kerana masih diberi peluang untuk sembuh. 

Luahan Nazim yang baru dimuat naik di laman Instagram sejam yang lalu, mendapat perhatian netizen yang tidak putus-putus menerima komen dari peminatnya yang memberi kata-kata semangat. Malah ada yang mengatakan luahan Nazim itu sedikit sebanyak membuatkan mereka insaf. 

"Tadi ada kawan wartawan beritahu, ada seorang hamba Allah telefon syarikat penerbitan akhbar untuk bertanya cara menghubungi saya. Berkenaan adiknya yang diuji tumor dalam kepala. Sama seperti kisah saya tahun lalu. 

"Bezanya, adik dia tak berjaya sembuh, hilang ingatan khabarnya. Sayu hati ini mengenangkan kisah-kisah mereka yang tak berjaya kembali seperti sediakala. Semoga dirahmatiNya. 

"Bagi mereka yang menghidap tumor dalam tubuh atau seperti saya dalam kepala, saya fahami akan kerisauan itu. Namun, ketika didatangkan ujian berat seperti ini, usah sesekali menyalahkan takdir atau mempersoalkan ketentuanNya. Dialah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. 

"Saya bersyukur diberi kesembuhan berkat doa bukan saja dari diri sendiri, tetapi dari mereka di luar sana. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Apa sekalipun yang berlaku, kita kena kuatkan semangat. Setiap ujian didatangkan kerana kita mampu untuk menanganinya," katanya. 

Sementara itu di Instagram Nazim, ramai peminat yang mempersoalkan, bagaimana Nazim menghilangkan parut di kepalanya. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment