“Bertuahnya puan saat ini,” kata seorang doktor kepada pesakit wanita yang sedang diperiksanya.
“Kenapa doktor?” balasnya menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.
“Sekarang Ramadhan. Puan pula hamil pada bulan yang banyak kelebihannya ini. Ia kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan untuk mengenal penciptaNya. Puan sangat lah bertuah!,” jelas doktor.
Maka, tidak hairanlah, meskipun sedang hamil atau menyusukan bayi, dalam masa yang sama ibu-ibu tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa.
Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadhan untuk membanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, solat tarawih, iktikaf dan memburu malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.
Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan rukhsah (keringanan), diperboleh meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan.
Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak perlu berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah menggantikan (Qada’) puasanya kelak.
Rata-rata alasan yang diberikan ibu-ibu, mereka berupaya untuk melaksanakan tuntutan berpuasa . Ada juga yang menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada teman untuk berpuasa sama. Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa adanya halangan haid jika di luar kehamilan.
Namun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia/kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.
Mereka menangguhkan masa untuk berbuka “Tunggulah setengah jam lagi.” Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka.
Hal yang demikian sepatutnya tidak berlaku kerana ibu perlu mengambil kira keadaan bayi ketika ini, apabila gejala-gejala kekurangan gula berlaku, akan menimbulkan mudarat pada bayi anda.
Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan janin sendiri. Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya. Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat.
Di sini ingin saya berkongsi tips-tips mudah bagi ibu-ibu hamil mengekalkan kesihatan unggul semasa hamil dan berpuasa.
Jika anda berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi anda masih boleh makan lebih daripada dua kali di antara masa berbuka dan sahur.
Hidangan makanan yang seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah-masalah seperti sembelit, sakit kepala, ketakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang kesemuanya merupakan simptom-simptom biasa semasa hamil.
Apakah cara terbaik bagi wanita hamil berbuka puasa?
Tiada pelan makanan khas yang perlu anda ikuti, tetapi isteri boleh mencuba tip-tip berikut sebagai cara terbaik untuk berbuka. Mulakan dengan: tiga biji kurma dan jus (bagus untuk menormalkan semula tahap gula yang rendah dalam darah);
- susu atau yogurt rendah lemak;
- sup jernih.
Kemudian, makanlah hidangan seimbang yang mengandungi: sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai hidangan pembuka selera;
- protein daripada ayam, daging atau ikan, kacang pis atau kekacang;
- karbohidrat kompleks daripada nasi beras perang dan roti bijian penuh;
- dan, banyak sayur-sayuran.
Elakkan hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketidakcernaan (indigestion)
Apakah isteri anda perlu makan sahur jika berpuasa semasa hamil?
Bersahur sangat penting jika isteri anda berpuasa. Ia akan mengekalkan tahap tenaga isteri pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana ia dapat membekalkan isteri anda dengan nutrien-nutrien penting dan tenaga yang diperlukan untuk kekal cergas pada waktu siang. Ia juga akan mengurangkan simptom-simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk.
Hidangan sahur yang sihat mungkin mengandungi: nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari
- bijirin berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak;
- dan, buah-buahan termasuk buah kurma dan pisang.
Elakkan meminum teh semasa sahur kerana ia boleh membuat anda mengalami dehidrasi.
Isteri suka minum kopi dan/atau teh selepas berbuka. Bagaimana menggantikannya?
Minumlah jus buah-buahan segar dan bukannya minuman bergas, kopi atau teh. Minuman smoothie yang mengandungi susu, yogurt, ais dan buah adalah minuman yang menyegarkan dan membekalkan banyak keperluan buah-buahan harian anda. Sup sayur-sayuran pula membolehkan anda makan sayur-sayuran berbeza dan memberi vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet isteri anda
Apakah yang perlu saya masukkan dan elakkan dalam diet saya semasa berpuasa?
Untuk mengekalkan kesihatan semasa berpuasa, amalkanlah tip-tip di atas semasa makan, dan Selepas berbuka, berehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan. Lakukanlah aktiviti-aktiviti ringan.
- Elakkan makan pada lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan anda bangun dan makan sahur.
- Minum banyak air selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan dehidrasi
.
Rujukan:
- Ramadhan Health by National Health Service (NHS) Choices United Kingdom
- Nutrition in pregnancy by American college of Obstetrician & Gynaecologist (ACOG)
The post Tips Mengekalkan Kesihatan Bagi Isteri Hamil Yang Berpuasa appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.
Blogger Comment
Facebook Comment