D i saat umat Islam menyambut Ramadan, penyanyi Farhan Azizan, 31, menerima berita sedih tiga hari menjelang bulan mulia itu.
Penyanyi dicungkil bakatnya menerusi program Akademi Fantasia musim keempat (AF4), dimaklumkan doktor mengenai kegugurannya pada 3 Jun lalu.
Farhan atau Nur Farhan Azizan mengakui tidak mengetahui kehamilannya dan menyangka pendarahan sekadar datang haid.
“Tidak tahu yang saya mengandung. Apabila mengalami pendarahan, saya sangka ia disebabkan darah haid.
“Doktor mengatakan kandungan saya berusia dua bulan. Tapi sepanjang dua bulan itu, tiada tanda-tanda menunjukkan saya mengandung,” katanya.
Cerita Farhan, dia mula menyedari mengalami keguguran apabila pendarahan berlaku kali kedua. Itupun disebabkan keluar darah agak berbeza daripada biasa.
“Risau dengan keadaan itu, suami membawa saya ke hospital. Selepas diperiksa dan saya menceritakan apa yang berlaku sebelum ini, doktor mengesahkan kandungan yang gugur itu sudah berusia dua bulan,” katanya.
Farhan berkahwin dengan Rashdan Suhaimi pada 11 Oktober 2014 selepas lapan tahun menyulam cinta dan berhadapan pelbagai dugaan. Sebelum itu, mereka bertunang pada Februari 2012.
Kata Farhan, dia dan suami memang sedih apabila dikhabarkan doktor mengenai perkara itu. Tambah pula selepas dua tahun berkahwin, mereka memang menantikan kehadiran cahaya mata sebagai pengikat kasih.
“Kami reda dan menganggap ia sebagai bukan rezeki. Alhamdulillah, suami sendiri banyak memberi kata-kata semangat kepada saya untuk menerima ketentuan ini,” katanya.
Disebabkan mengalami keguguran, Farhan juga harus berpantang. Bagaimanapun katanya, dia tidaklah berpantang seperti orang baru lepas melahirkan.
“Ada perkara penting harus dilakukan orang berpantang, saya harus mengikutinya atas nasihat keluarga.
“Saya ikut pesan ibu. Katanya, walaupun keguguran kandungan dua bulan saya harus juga menjaga makan. Paling utama, mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan badan berangin.
“Tapi saya tidak ada masalah untuk berpuasa. Jadi, apabila tiba Ramadan saya berpuasa seperti biasa. Cuma waktu berbuka kena berkorban sedikit.
“Saya tidak boleh makan ikut nafsu macam makan makanan laut ada benda yang berangin,” katanya.
Kata Farhan, sebagai isteri rutin hariannya pada bulan puasa ini sama seperti isteri yang lain. Setiap kali berbuka puasa, dia akan pastikan dapat berbuka dengan suami walau sibuk macam mana pun terutama pada minggu pertama puasa.
“Saya masak makanan kegemarannya dan kegemaran saya, jadi dengan cara ini kami sama-sama dapat merasai makanan kegemaran masing-masing.
“Tapi kadang-kadang dalam minggu kedua puasa, suami pula akan bertanya apa yang saya suka dan nak makan,” katanya.
Mengenai makanan kegemaran suami, jelas Farhan, Rashdan suka makan sambal ikan bilis kering yang dimasak neneknya.
“Membanggakan juga sebab sekarang ini suami akan cakap dia akan makan sambal ikan bilis yang dimasak nenek dan isteri dia. Setakat ini apa yang saya makan, dia tidak pernah merungut.
“Saya sendiri kalau bulan puasa ini memang akan lebih sikit rajin masak. Semua ada atas meja seperti asam pedas, masak lemak, ayam goreng rempah, sambal sotong dan rebung,” katanya.
Begitupun kata Farhan, apabila berpantang dia harus pandai memilih juadah yang sesuai untuk dirinya dan juga keluarga.
“Saya kenalah kreatif apabila berada di dapur. Contohnya kerana tidak boleh makan makanan berminyak dan berlemak, saya buat ikan siakap stim. Jadi juadah itu tetap istimewa dan semua orang boleh menikmatinya,” katanya.
sumber : http://ift.tt/1K34LkL
Blogger Comment
Facebook Comment