FOTO - IHSAN PDRM & HARIAN METRO |
KOTA KINABALU, SABAH - Seorang lelaki mengamuk dan mengugut mahu membunuh dua anak perempuannya berusia empat serta lima tahun, hanya kerana bekas isterinya tidak pulang beraya bersama, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 5 petang semalam di rumahnya di Kampung Suang Parai, Menggatal, suspek berusia 30 tahun bertindak mengurung dua anaknya dan mengacu pedang di leher dua beradik itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, polis menerima laporan dariapda sepupu suspek yang melaporkan lelaki itu mengurung dua anaknya di sebuah bilik di tingkat atas rumah.
"Suspek dipujuk sepupunya tetapi gagal sebelum terhidu bau asap dari bilik suspek dan ternampak lelaki itu sedang membakar sesuatu di dalam bilik.
"Pengadu juga ternampak suspek mengacukan pedang samurai ke leher mangsa sambil menjerit agar orang lain tidak masuk campur urusannya," katanya.
Polis cuba memujuk suspek untuk menyerah diri dan tidak mencederakan anak-anaknya. Beberapa minit kemudian, suspek membawa anak-anaknya keluar dan menyerahkan dua beradik itu kepada seorang ahli keluarga.
"Kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Manakala suspek ditahan dan senjata seperti samurai dan pisau pemotong sayur dirampas.
"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah. Siasatan awal mendapati suspek mengamuk disebabkan kecewa apabila bekas isterinya yang kini berada di Johor tidak pulang menyambut hari raya bersama dengannya." katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan membiunuh.
Blogger Comment
Facebook Comment